Kakimuvee
Berita

Lionsgate Berminat Hasilkan Filem Baharu The Hunger Games, Nantikan Keputusan Suzanne Collins

Kejayaan The Hunger Games: Sunrise on the Reaping di box office membuka peluang kepada Lionsgate untuk terus mengembangkan francais yang telah bertapak sejak 2012 itu. Bagaimanapun, hala tuju francais tersebut masih bergantung kepada Suzanne Collins, penulis di sebalik dunia dystopia Panem.

Dalam temu bual bersama The Hollywood Reporter, Pengerusi Lionsgate Motion Picture Group, Adam Fogelson menyatakan hasrat studio itu untuk kembali bekerjasama dengan Collins sekiranya penulis berkenaan mempunyai cerita baharu yang ingin diterokai.

“Kami amat menghormati Suzanne sebagai pencipta dunia ini. Saya sudah memberitahunya, apabila dia bersedia untuk memberikan saya sesuatu yang baharu untuk dibaca, saya sanggup meninggalkan segala urusan dan pergi ke mana sahaja di dunia untuk membacanya. Saya akan menunggu panggilan itu dengan sabar,” katanya.

Dihasilkan dengan bajet AS$150 juta, The Hunger Games: Sunrise on the Reaping mencatatkan kutipan pembukaan sebanyak AS$119.3 juta di Amerika Utara, sekali gus mengatasi pencapaian dua filem terdahulu dalam francais tersebut.

Sebagai perbandingan, The Hunger Games: The Ballad of Songbirds and Snakes yang ditayangkan pada 2023 mencatatkan kutipan pembukaan sebanyak AS$44 juta sebelum menamatkan tayangannya dengan kutipan global sebanyak AS$361.8 juta.

Menurut Fogelson, terdapat cabaran tersendiri dalam membawa kisah asal usul Presiden Snow ke layar perak, memandangkan watak antagonis itu menjadi tunjang penceritaan tanpa menjadikan pertandingan Hunger Games sebagai tarikan utama.

Situasinya berbeza dengan Sunrise on the Reaping. Kisah silam Haymitch Abernathy merupakan antara cerita yang sudah lama ingin diketahui peminat, sekali gus memberikan keyakinan kepada Lionsgate untuk melabur lebih besar dari segi produksi dan pemilihan barisan pelakon.

Sambutan terhadap novel Sunrise on the Reaping juga cukup memberangsangkan apabila terjual sebanyak 1.5 juta naskhah dalam minggu pertama penerbitannya, menjadikannya pelancaran novel paling berjaya dalam siri tulisan Collins itu.

Mengenai kemungkinan filem ketujuh, Fogelson mendedahkan bahawa peminat telah menyuarakan pelbagai cadangan mengenai kisah lain dalam dunia Panem yang ingin mereka baca dan saksikan di layar perak.

“Peminat sudah menyatakan bahawa terdapat kisah-kisah lain yang mereka teruja untuk baca dan tonton. Kita lihat sama ada mana-mana kisah itu mampu memberi inspirasi kepada Suzanne untuk menulisnya,” tambah beliau.

Buat masa ini, masih belum ada pengesahan mengenai pembangunan filem ketujuh The Hunger Games.

Diarahkan oleh Francis Lawrence, The Hunger Games: Sunrise on the Reaping membawa penonton kembali ke Panem, 24 tahun sebelum peristiwa filem pertama, dengan memberi tumpuan kepada penyertaan Haymitch Abernathy dalam edisi ke-50 Hunger Games.

Filem ini dibintangi Joseph Zada, Whitney Peak, Mckenna Grace, Jesse Plemons, Ralph Fiennes, Glenn Close, Kieran Culkin, Elle Fanning dan Maya Hawke.

The Hunger Games: Sunrise on the Reaping kini sedang ditayangkan di pawagam seluruh Malaysia.

Related posts

Chris Evans Tolak Lebih 10 Tawaran Marvel Sebelum Kembali Dalam Avengers: Doomsday

Karim Khan

Skydance Lengkapkan Penggabungan Bernilai AS$110 Bilion Paramount-Warner Bros. Discovery

Karim Khan

Kutipan Obsession Cecah Ratusan Juta, Berapakah Gaji Yang Diterima Inde Navarrette?

Karim Khan

Barry Keoghan Sah Kembali Sebagai Joker Dalam The Batman: Part 2

Karim Khan

Emily Blunt, Benicio Del Toro Dan Josh Brolin Kembali Untuk Sicario 3

Karim Khan

Sucker Punch Versi Director’s Cut Masih Lagi Dalam Perancangan Zack Snyder

Karim Khan

Leave a Comment