
Prime Video mengumumkan drama romantik Korea terbaharu, A Love Other Than Yours, yang bakal ditayangkan secara eksklusif di platform tersebut mulai 12 September 2026.
Drama ini dibintangi oleh Seo Kangjun dan Ahn Eun-jin sebagai pasangan utama, bersama Lee Joo Ahn dan Jo Aram. Ia akan tersedia di lebih 240 negara dan wilayah di seluruh dunia, termasuk Malaysia.
A Love Other Than Yours mengisahkan Namgung Ho dan Lee Mi-do, pasangan yang telah menjalinkan hubungan selama 10 tahun. Apa yang dahulunya dipenuhi rasa cinta dan keghairahan kini berubah menjadi hubungan yang lebih tenang, dibina atas kepercayaan dan keselesaan.
Ho merupakan seorang lelaki yang mudah mesra dan mampu membuat orang menyukainya dalam masa singkat. Selepas 10 tahun bersama Mi-do, dia percaya perkahwinan merupakan langkah seterusnya dalam hubungan mereka.
Namun, Mi-do mempunyai pandangan berbeza. Sebagai seorang pengarah filem yang terlalu fokus terhadap kerjayanya, dia mula mengalami masalah dalam pekerjaan dan melalui tempoh sukar dalam hidupnya.
Dalam keadaan tersebut, Mi-do bertemu seorang lelaki lain. Walaupun pada awalnya tidak mempunyai sebarang perasaan terhadap lelaki itu, dia perlahan-lahan mula tertarik kepadanya.

Perasaan tersebut membuatkan Mi-do mula mempersoalkan hubungan yang telah dibinanya selama sedekad bersama Ho.
Apabila hubungan mereka mula retak, kedua-duanya terpaksa berdepan satu persoalan besar — adakah mereka patut meneruskan rancangan untuk berkahwin, atau memilih cinta yang lain?
Seo Kangjun membawakan watak Namgung Ho, seorang penolong pengurus di Hunmin Snacks yang mudah bergaul. Selepas 10 tahun bersama Mi-do, Ho yakin hubungan mereka cukup kukuh untuk menghadapi apa sahaja.
Namun, keyakinannya mula goyah apabila mengetahui Mi-do telah jatuh cinta kepada lelaki lain.
Ahn Eun-jin pula memainkan watak Lee Mi-do, seorang pengarah filem baharu yang pernah dianggap mempunyai masa depan cerah dalam industri. Ketika berada di titik terendah dalam kerjayanya, dia bertemu Han Tae-seung dan mula mengalami perasaan yang tidak pernah dijangkakan.
Han Tae-seung dilakonkan oleh Lee Joo Ahn. Dia merupakan seorang peguam bercita-cita tinggi di firma guaman Jaekang Law Firm.
Sebagai seorang anak yatim yang hanya bergantung kepada kebijaksanaannya, Tae-seung menghabiskan hidupnya untuk berkhidmat kepada rakan kongsi pengurusan firma tersebut. Namun, dia mula mempersoalkan kehidupannya sendiri selepas bertemu Mi-do, seorang wanita yang sering membuatkannya hilang kawalan terhadap emosinya.
Sementara itu, Jo Aram memainkan watak Park Su-a, pekerja di Hunmin Snacks yang sering dianggap dingin dan sukar didekati.
Su-a membesar sebagai anak kepada seorang pemain bola sepak terkenal dan sejak kecil belajar untuk menjaga batas dirinya serta tidak menunjukkan terlalu banyak emosi kepada orang lain.
A Love Other Than Yours diarahkan oleh Hwang Seung-ki dan Lee Garam, manakala skrip ditulis oleh Yoo Su-Ji. Drama ini mempunyai 14 episod dan merupakan produksi KBS.
Drama tersebut bakal menyertai pelbagai kandungan Korea lain yang tersedia di Prime Video, termasuk See You at Work Tomorrow!, Spring Fever, Surely Tomorrow, Head Over Heels dan GOOD BOY.
Selain itu, pelanggan Prime Video turut boleh menikmati pelbagai filem dan siri popular seperti Fallout, The Summer I Turned Pretty, Reacher, The Boys dan The Lord of the Rings: The Rings of Power.
A Love Other Than Yours akan ditayangkan secara eksklusif di Prime Video pada 12 September 2026.
Di Malaysia, langganan Prime Video ditawarkan pada harga RM25 sebulan.
