
Kempen promosi filem Onslaught terus dipergiat apabila A24 memperkenalkan dua poster IMAX baharu untuk filem seram aksi arahan Adam Wingard.
Sebelum ini, Wingard mengesahkan bahawa Onslaught berkongsi dunia yang sama dengan filem kultus arahannya, The Guest. Kini, dua poster terbaharu itu memberi gambaran mengenai ancaman yang bakal menjadi tumpuan utama dalam filem berkenaan.
Onslaught mengisahkan seorang ibu, lakonan Adria Arjona, yang tinggal di sebuah taman treler dan berusaha melindungi orang tersayang selepas satu ancaman berjaya meloloskan diri dari sebuah pangkalan tentera rahsia. Dalam masa yang sama, sekumpulan tentera upahan dikerahkan untuk mengawal keadaan dan membendung ancaman tersebut.
Selain Arjona, filem ini turut dibintangi Dan Stevens, Michael Biehn, Rebecca Hall, Drew Starkey, Eric Wareheim, Reginald VelJohnson dan juara UFC, Alex Pereira, yang dilaporkan membawa watak antagonis dikenali sebagai The Butcher.
Diklasifikasikan R Oleh MPA
Onslaught menerima klasifikasi R daripada Motion Picture Association (MPA) kerana memaparkan keganasan berdarah yang kuat, unsur gore, kandungan seksual dan bogel, serta penggunaan bahasa yang kasar.
Poster IMAX pertama memaparkan sekumpulan askar yang menjadi ancaman utama dalam filem itu, manakala poster kedua mengetengahkan watak lakonan Adria Arjona, sekali gus memberi bayangan bahawa dialah individu yang sebenarnya perlu ditakuti oleh kumpulan askar tersebut.
Onslaught dijadualkan ditayangkan di pawagam AS pada 4 September 2026, manakala tayangan di Malaysia masih belum diketahui.
Sumber: Dread Central


