Francais seram bertemakan survival di tempat tinggi, Fall, bakal kembali dengan lokasi dan barisan watak baharu menerusi sekuelnya, Fall 2: Deadpoint. Sempena itu, poster rasmi filem berkenaan telah pun didedahkan.
Peminat juga bakal melihat trailer baharu Fall 2: Deadpointyang dijadualkan pelancaran esok.
Filem ini akan menemui penonton di pawagam pada 2 September 2026 dan telah menerima klasifikasi PG-13 kerana mengandungi bahasa kesat, adegan ganas, imej berdarah serta unsur penyalahgunaan dadah.
Fall 2: Deadpoint dibintangi Harriet Slater (Tarot), Arsema Thomas (Queen Charlotte: A Bridgerton Story) dan Tom Brittney (Greyhound).
Sekuel ini diarahkan oleh Michael dan Peter Spierig, duo di sebalik Predestination dan Jigsaw, berdasarkan skrip yang ditulis oleh Scott Mann, pengarah filem pertama, bersama Jonathan Frank.
Sinopsis rasmi mendedahkan kisah Jax yang masih dibelenggu kesedihan selepas kematian adiknya, Hunter. Dalam usaha untuk mencari ketenangan, Jax menjalinkan hubungan dengan Luce, rakan baik Hunter yang berani, sebelum mereka memutuskan untuk mencuba laluan ekstrem “plank walk” di Gunung Kwan, Thailand.
Namun, keadaan bertukar menjadi mimpi ngeri apabila kejadian tanah runtuh menyebabkan mereka terperangkap di atas papan kayu rapuh pada ketinggian kira-kira 3,000 kaki dari tanah. Dalam situasi genting itu, Jax terpaksa berdepan ketakutan paling besar sambil berjuang untuk terus hidup.
Filem pertama Fall yang ditayangkan pada 2022 telah mencipta kejutan apabila berjaya meraih kutipan sekitar AS$18 juta di seluruh dunia. Kejayaan itu turut membuka laluan kepada Fall 3, yang telah pun diberikan lampu hijau, dengan Scott Mann dijangka kembali mengarah filem tersebut.
Sumber: Bloody Disgusting.

