
James Gunn menafikan beberapa khabar angin yang sedang hangat diperkatakan dalam kalangan peminat DC, termasuk dakwaan Matt Reeves tidak lagi mengarahkan The Batman Part II, Milly Alcock digugurkan daripada watak Supergirl serta laporan mengenai reaksi negatif terhadap tayangan ujian Man of Tomorrow.
Menerusi satu hantaran di Threads, ketua bersama DC Studios itu menjelaskan bahawa ketiga-tiga dakwaan tersebut adalah tidak benar, sambil menasihatkan peminat supaya tidak mudah mempercayai maklumat yang tersebar tanpa pengesahan rasmi.
Menurut Gunn, beliau kini semakin jarang memberikan respons terhadap khabar angin kerana terlalu banyak dakwaan tidak berasas yang muncul di media sosial.

"Anda semua perlu berhenti mempercayai perkara mengarut. Saya juga sudah semakin jarang menafikan khabar angin kerana terlalu banyak yang tersebar dan saya tidak begitu aktif di sini. Tetapi ketiga-tiga dakwaan ini langsung tidak benar," jelas Gunn.
Antara khabar angin yang mencetuskan kebimbangan peminat ialah dakwaan Matt Reeves telah meninggalkan kerusi pengarah The Batman Part II selepas Steven Soderbergh dilaporkan membantu menyelesaikan penggambaran filem tersebut.
Penglibatan Soderbergh berlaku ketika Reeves terpaksa memberikan perhatian kepada urusan keluarganya. Bagaimanapun, Reeves sebelum ini telah menjelaskan bahawa beliau tidak meninggalkan projek berkenaan, malah turut mengucapkan terima kasih kepada Soderbergh kerana membantu memastikan proses penggambaran dapat diselesaikan.
Sementara itu, spekulasi mengenai kedudukan Milly Alcock sebagai Supergirl mula tercetus selepas peminat menyedari beberapa hantaran berkaitan watak tersebut telah hilang daripada akaun Instagram pelakon berkenaan.
Perubahan itu kemudiannya mencetuskan dakwaan bahawa Alcock telah digugurkan daripada DC Universe (DCU), meskipun tiada sebarang pengumuman rasmi yang menyokong dakwaan tersebut. Gunn kini telah menafikan spekulasi berkenaan.
Dalam perkembangan berkaitan, Gunn turut menolak laporan yang mendakwa Man of Tomorrow menerima reaksi negatif dalam satu tayangan ujian kerana pengakhirannya dikatakan menyaksikan kematian seorang adiwira popular DC.
Gunn tidak mendedahkan sebarang perincian mengenai jalan cerita atau pengakhiran filem tersebut. Sebaliknya, beliau berkongsi perkembangan terbaru proses pascaproduksi Man of Tomorrow, dengan mengesahkan bahawa beliau akan menunjukkan suntingan pertama versi pengarah (director's cut) kepada Peter Safran.
Menurutnya, Safran merupakan individu pertama yang akan menyaksikan versi tersebut, malah proses penyediaannya berjaya disiapkan sebulan lebih awal daripada jadual asal.
Penjelasan Gunn itu sekali gus menolak tiga dakwaan yang menjadi perbualan peminat, khususnya ketika DC Studios sedang meneruskan pembangunan beberapa projek utama dalam DCU.
Sumber: ComingSoon / SuperHeroHype
