
Zendaya disahkan menyertai sebuah filem sci-fi terbaru terbitan A24 yang akan ditulis dan diarahkan oleh Alex Garland, pengarah di sebalik Ex Machina, Annihilation dan Civil War.
Menurut laporan Variety, projek yang masih belum mempunyai judul rasmi itu dijadualkan memulakan penggambaran pada 2027. Bagaimanapun, perincian mengenai jalan cerita, watak yang bakal dibawakan Zendaya serta barisan pelakon lain masih dirahsiakan.
Filem tersebut bakal menyaksikan Zendaya sekali lagi bekerjasama dengan A24 selepas kejayaan siri HBO Euphoria, yang menamatkan tayangannya selepas tiga musim pada awal tahun ini, serta filem komedi drama The Drama yang turut dibintangi Robert Pattinson.
The Drama sebelum ini mencatatkan kejayaan komersial dengan jumlah kutipan global hampir AS$135 juta, sekali gus menjadi antara projek A24 yang mendapat sambutan di pawagam.
Bagi Garland pula, projek terbaru ini menandakan kepulangannya kepada genre fiksyen sains selepas menghasilkan beberapa karya terdahulu seperti Ex Machina, Annihilation dan siri televisyen Devs.
Pengarah itu juga mempunyai hubungan kerjasama yang panjang dengan A24 menerusi beberapa filem termasuk Ex Machina, Men, Civil War dan Warfare.
Selain projek bersama Zendaya, Garland kini turut terlibat dalam adaptasi filem permainan video popular Elden Ring yang diterbitkan oleh A24. Filem tersebut dibintangi Kit Connor, Cailee Spaeny, Ben Whishaw, Nick Offerman dan Tom Burke.
Penggambaran Elden Ring dilaporkan telah selesai pada 30 Julai lalu dan filem berkenaan dijadualkan ditayangkan pada Mac 2028.
Sementara itu, Zendaya terus mengukuhkan kedudukannya dalam industri perfileman menerusi beberapa projek besar sepanjang 2026, termasuk The Odyssey arahan Christopher Nolan dan Spider-Man: Brand New Day, selain bakal kembali sebagai Chani dalam Dune: Part Three arahan Denis Villeneuve.
Dalam perkembangan berkaitan, penglibatan Garland dalam beberapa projek terbaru turut menimbulkan persoalan mengenai status filem ketiga 28 Years Later.
Ketika menghadiri London Film Festival baru-baru ini, Danny Boyle mendedahkan bahawa Garland sebenarnya telah menyiapkan sebuah skrip yang disifatkannya sebagai sangat bagus untuk filem ketiga francais tersebut.
Bagaimanapun, Boyle menjelaskan bahawa projek berkenaan terpaksa ditangguhkan buat sementara waktu kerana Garland sedang memberikan tumpuan kepada Elden Ring.
Dengan penglibatan Garland dalam filem sci-fi terbaru bersama Zendaya, masih belum dapat dipastikan bilakah pembangunan filem ketiga 28 Years Later akan diteruskan.
Sumber: Variety
