
Netflix secara rasmi mengumumkan penerbitan filem Korea terbaharu berjudul Two Cops and Five Kids, sebuah filem aksi komedi kekeluargaan yang bakal dibintangi Cha Tae Hyun dan Uhm Ji Won sebagai pasangan suami isteri.
Pengumuman itu dibuat pada 6 Ogos, sekali gus mengesahkan barisan pelakon utama bagi filem arahan Kim Jong Hyun tersebut.
Two Cops and Five Kids mengisahkan Dong Sik (Cha Tae Hyun), seorang detektif jenayah ganas yang terpaksa menjaga lima orang anak seorang diri selepas isterinya, Kyung Ah (Uhm Ji Won), kononnya keluar bercuti. Namun, tanpa pengetahuannya, Kyung Ah sebenarnya sedang menjalankan satu misi sulit.
Dalam masa yang sama, Dong Sik perlu membuat persediaan untuk peperiksaan kenaikan pangkat, sebelum keluarganya secara tidak sengaja terheret ke dalam operasi membanteras sebuah organisasi jenayah. Situasi itu mencetuskan pelbagai insiden huru-hara yang dipenuhi aksi dan komedi.
Cha Tae Hyun akan membawa watak Dong Sik, seorang detektif yang cuba mengimbangi tanggungjawab sebagai bapa kepada lima orang anak dengan kerjayanya sebagai anggota polis. Kehidupannya berubah secara drastik apabila dia terpaksa menguruskan segala-galanya sendirian selepas pemergian isterinya.
Sementara itu, Uhm Ji Won memegang watak Kyung Ah, bekas pegawai polis yang telah menghabiskan sedekad menjadi suri rumah dan penjaga utama keluarga.
Demi peluang kembali berkhidmat dalam pasukan polis, dia menerima tawaran menyertai satu operasi rahsia oleh Perkhidmatan Perisikan Kebangsaan Korea Selatan (NIS), yang memaksanya menyamar dengan alasan bercuti.
Filem ini turut menampilkan lima pelakon kanak-kanak yang membawakan watak anak-anak pasangan tersebut, iaitu Do Young Seo sebagai Spring, Kim Na Eun sebagai Summer, Jung Han Sol sebagai Autumn, Shim Ji An sebagai Winter dan Kim Ra Hee sebagai April.
Two Cops and Five Kids juga menjadi projek pertama yang menemukan Cha Tae Hyun dan Uhm Ji Won sebagai pasangan suami isteri di layar, sekali gus meningkatkan keterujaan peminat untuk melihat keserasian mereka dalam genre aksi komedi kekeluargaan.
Setakat ini, Netflix belum mengumumkan tarikh tayangan rasmi, namun Two Cops and Five Kids akan ditayangkan secara eksklusif di platform penstriman tersebut.
Sumber: Mydramalist
