
Siri adaptasi live-action (aksi-nyata) One Piece terus membuktikan popularitinya apabila berjaya melepasi pencapaian luar biasa dengan lebih 1 bilion jam tontonan di Netflix di seluruh dunia.
Siri yang mula ditayangkan pada Ogos 2023 itu pada asalnya dianggap sebagai satu pertaruhan besar memandangkan sejarah adaptasi anime aksi nyata yang kurang memberangsangkan. Namun, One Piece berjaya memecahkan trend tersebut dan kini muncul sebagai antara siri original paling berjaya di platform penstriman itu.
Menurut data Netflix, gabungan musim pertama dan kedua telah merekodkan kira-kira 1.3 bilion jam tontonan serta 172.9 juta tontonan bagi tempoh dari awal 2023 hingga pertengahan 2026.
Musim Kedua Lonjak Populariti Siri
Pelancaran musim kedua pada Mac 2026 menjadi pemangkin utama kepada peningkatan jumlah tontonan. Dalam minggu tayangannya, kedua-dua musim mencatatkan 1.62 bilion minit tontonan, sekali gus menjadikan One Piece siri original paling banyak ditonton dalam carta penstriman Nielsen bagi tempoh tersebut.
Sebanyak 82 peratus daripada jumlah tontonan itu datang daripada episod baharu musim kedua, membuktikan minat penonton terhadap pengembaraan Monkey D. Luffy masih kukuh.
Turut Lonjak Populariti Anime Asal
Kejayaan siri aksi nyata ini turut memberi kesan positif kepada versi anime. Netflix sebelum ini mengesahkan bahawa jumlah tontonan anime One Piece meningkat dua kali ganda selepas tayangan siri aksi nyata pada 2023.
Menjelang 2025, One Piece turut menjadi anime paling banyak ditonton di Netflix, mengatasi francais popular seperti Naruto dan Demon Slayer.
Netflix juga telah mengesahkan bahawa musim ketiga sedang dalam pembikinan dan dijangka akan mengadaptasi beberapa arka cerita yang paling dinantikan peminat, sekali gus meneruskan momentum kejayaan francais ini.
Sumber: Comicbasics
