
Selepas kejayaan musim pertama, drama aksi jenayah Korea Flex X Cop kembali dengan musim kedua yang menjanjikan aksi lebih mendebarkan, kes-kes lebih mencabar serta ancaman yang lebih berbahaya. Flex X Cop Season 2 akan mula distrim secara eksklusif di Disney+ bermula 7 Ogos ini.
Dalam musim baharu ini, Jin Isoo tidak lagi dikenali sebagai pewaris konglomerat yang manja. Selepas melalui latihan mencabar di akademi polis, dia kini kembali sebagai seorang pegawai polis sepenuh masa yang lebih matang dan bersedia menghadapi apa sahaja cabaran.
Namun, kepulangannya ke unit jenayah ganas membawa satu kejutan besar apabila bekas jurulatihnya di akademi, Joo Hyera, dilantik sebagai ketua baharu pasukan tersebut. Lebih mencabar lagi, kedua-duanya kini dipasangkan sebagai rakan sepasukan, meskipun hubungan mereka sering tegang sejak zaman latihan.
Musim kedua bakal menyaksikan Isoo dan pasukan jenayah ganas berdepan pelbagai misi berisiko tinggi termasuk memburu pengganas, pembunuh upahan, menyelesaikan kes-kes yang hampir mustahil serta pelbagai ancaman jenayah lain.

Drama ini sekali lagi menampilkan Ahn Bohyun (Itaewon Class, Yumi’s Cells) sebagai Jin Isoo, pewaris kaya yang bertukar menjadi detektif berbakat. Turut membintangi musim ini ialah Jung Eunchae (Jeongnyeon: The Star is Born, Pachinko) sebagai Joo Hyera, ketua baharu unit jenayah ganas.
Kim Bada kembali sebagai penulis skrip selepas mengendalikan musim pertama, manakala Kim Jaehong sekali lagi mengarah kesinambungan siri popular ini.
Flex X Cop Season 2 merupakan antara siri Korea terbaru yang memperkukuhkan koleksi kandungan Disney+. Selain musim pertama Flex X Cop, pelanggan platform itu turut boleh menikmati pelbagai drama jenayah popular seperti Made In Korea, Vigilante dan The Worst of Evil.
Jangan lepaskan aksi penuh mendebarkan Flex X Cop Season 2 yang akan mula distrim di Disney+ bermula 7 Ogos ini.
