
Peminat francais Resident Evil kini mempunyai gambaran lebih jelas mengenai filem reboot terbaharu arahan Zach Cregger apabila tempoh tayangan rasminya akhirnya didedahkan.
Menurut penyenaraian di laman web AMC Theatres, Resident Evil (2026) mempunyai durasi selama 1 jam 35 minit atau 95 minit, sekali gus menjadikannya antara filem paling pendek dalam keseluruhan francais Resident Evil.
Walaupun berdurasi lebih singkat berbanding kebanyakan filem terdahulu, Zach Cregger memberi bayangan bahawa penonton bakal disajikan pengalaman yang padat dengan aksi dan ketegangan dari awal hingga penghujung filem.
Dalam temu bual bersama IGN sebelum ini, Cregger menjelaskan bahawa filem tersebut dibina seperti satu babak panjang yang tidak pernah memperlahankan rentaknya.
“Filem ini terasa seperti satu babak gergasi. Segala-galanya bermula kira-kira lima minit selepas filem bermula dan momentum itu berterusan sehingga ke penghujung. Apa yang saya sukakan tentang permainan video Resident Evil ialah setiap lokasi menawarkan cabaran berbeza. Saya meminjam rentak itu secara langsung daripada permainan, seolah-olah penonton sedang berlari melalui satu demi satu cabaran,” katanya.
Sebagai perbandingan, berikut merupakan tempoh tayangan semua filem Resident Evil sebelum ini:
- Resident Evil (2002) – 100 minit
- Resident Evil: Apocalypse – 93 minit
- Resident Evil: Extinction – 94 minit
- Resident Evil: Afterlife – 97 minit
- Resident Evil: Retribution – 96 minit
- Resident Evil: The Final Chapter – 107 minit
- Resident Evil: Welcome to Raccoon City – 107 minit
- Resident Evil (2026) – 95 minit
Sony turut menggelarkan filem ini sebagai satu interpretasi semula yang mendebarkan dan menggerunkan terhadap francais ikonik Resident Evil, hasil sentuhan Zach Cregger yang sebelum ini mengarahkan Barbarian dan Weapons.
Filem ini dibintangi Austin Abrams sebagai Bryan, seorang penghantar bekalan perubatan yang secara tidak sengaja terperangkap dalam mimpi ngeri apabila satu malam yang sepatutnya biasa bertukar menjadi perjuangan tanpa henti untuk terus hidup.
Turut membintangi filem ini ialah Zach Cherry, Kali Reis, Paul Walter Hauser dan Johnno Wilson.
Resident Evil diarahkan oleh Zach Cregger berdasarkan skrip yang ditulis bersama Shay Hatten, penulis yang terkenal menerusi John Wick: Chapter 3 – Parabellum dan John Wick: Chapter 4.
Filem ini dijadualkan menemui penonton di pawagam serta IMAX bermula 18 September.
Sumber: Bloody Disgusting

