
Filem Resident Evil arahan Zach Cregger secara rasmi menerima klasifikasi R daripada MPA, dengan penarafan tersebut diberikan atas faktor “keganasan berdarah yang kuat, gore dan bahasa kasar sepanjang filem”.
Filem ini dibawakan sebagai sebuah pembaharuan terhadap francais Resident Evil, dengan Austin Abrams (Weapons) sebagai watak utama, Bryan.
Bryan merupakan seorang penghantar barangan perubatan yang tanpa sengaja mendapati dirinya terperangkap dalam usaha untuk terus hidup apabila satu malam yang mengerikan bertukar menjadi huru-hara.
Selain Abrams, filem ini turut menampilkan Zach Cherry (Severance), Kali Reis (True Detective: Night Country), Paul Walter Hauser (Black Bird) dan Johnno Wilson (Twisted Metal).
Lebih Fokus Kepada Makhluk Aneh Berbanding Zombi
Salah satu perkara yang menarik mengenai versi Resident Evil arahan Cregger ialah pendekatannya terhadap makhluk yang berkaitan dengan T-Virus.
Cregger sebelum ini menjelaskan bahawa filem ini tidak banyak menggunakan zombi dan lebih memberi tumpuan kepada “weird creature stuff”. Menurutnya, hanya sekitar dua atau tiga babak dalam filem yang benar-benar menampilkan elemen zombi.
Sebaliknya, beliau mahu meneroka dengan lebih luas kesan T-Virus terhadap tubuh manusia dan dunia di sekelilingnya. Pendekatan tersebut turut memberi ruang kepada kemunculan pelbagai makhluk yang mengalami mutasi akibat T-Virus.
Perkara itu turut dapat dilihat menerusi beberapa imej baharu daripada filem ini yang menampilkan watak lakonan Paul Walter Hauser berhadapan dengan makhluk yang memiliki tentakel.
Bagaimanapun, identiti sebenar makhluk di sebalik tentakel tersebut masih belum diketahui. Bloody Disgustingmenyatakan ia mungkin berkaitan dengan anjing yang mengalami mutasi akibat T-Virus seperti yang dilihat dalam TV spot terdahulu, atau mungkin sesuatu yang lain.
Aksi Bermula Awal Dan Berterusan
Cregger sebelum ini turut memberikan gambaran mengenai struktur filem tersebut, yang menurutnya bergerak hampir seperti satu urutan panjang.
Beliau menjelaskan bahawa kejadian mula berlaku kira-kira lima minit selepas filem bermula dan keadaan tersebut pada asasnya berterusan sehingga penghujung.
Pendekatan itu turut mengambil inspirasi daripada permainan Resident Evil, khususnya cara pemain bergerak dari satu set-piece ke set-piece lain, dengan setiap lokasi menawarkan cabaran tersendiri.
Filem ini diarahkan oleh Cregger berdasarkan skrip yang ditulisnya bersama Shay Hatten, yang sebelum ini terlibat dalam John Wick: Chapter 3 dan John Wick: Chapter 4.
Dengan klasifikasi R yang merangkumi keganasan berdarah, gore dan bahasa kasar, Resident Evil bakal menampilkan pendekatan Cregger terhadap francais tersebut apabila filem ini tiba di pawagam.





