
Jason Voorhees bakal kembali ke layar perak menerusi filem baharu berjudul JASON, yang merupakan filem ke-13 dalam francais seram Friday the 13th, selepas kali terakhir muncul dalam filem cereka yang diterbitkan pada 2009.
Filem ini akan diarahkan oleh Steve Miner, yang sebelum ini pernah mengarahkan Friday the 13th Part 2 (1981) dan Friday the 13th Part III (1982). Kedua-dua filem tersebut memainkan peranan penting dalam membentuk identiti Jason Voorhees, termasuk penggunaan parang sebagai senjata utama dan pengenalan topeng hoki yang menjadi simbol ikonik watak tersebut.
Pembikinan JASON dilakukan secara rahsia tanpa sebarang pengumuman awal, malah proses penggambarannya telah pun selesai. Filem ini diterbitkan secara bebas oleh keluarga Barsamian dengan kerjasama CatchLight Studios, manakala Cineverse telah memperoleh hak pengedaran di Amerika Utara, termasuk tayangan pawagam.
Watak Jason Voorhees akan dibawakan oleh Schuyler White, yang sebelum ini pernah memainkan watak sama dalam filem pendek Sweet Revenge terbitan Jason Universe. Bagi menjayakan watak tersebut, White menjalani latihan fizikal intensif sehingga berjaya menambah kira-kira 13.6 kilogram jisim otot untuk membentuk penampilan Jason yang lebih besar dan menggerunkan.
White turut mengkaji lakonan pelakon terdahulu yang pernah membawakan watak Jason bagi memastikan karakter pembunuh bertopeng hoki itu kekal dengan identiti asalnya.
Sementara itu, Natalie Alyn Lind dipilih untuk membawakan watak utama bernama Lauren. Beliau akan bergandingan dengan Matt Cornett sebagai Asher, Lilia Buckingham sebagai Madison, John Owen Lowe sebagai Jake, Summer Madison sebagai Emily, Selena Turner sebagai Olive dan Matthew Keoni Sato sebagai Lucas.
Barisan pelakon lain termasuk Brook Sill, Guillermo Diaz, Johnell Young, Sencere Messiah Brown dan Bryan Gael Guzman.
Skrip filem ini ditulis oleh David Fliegel, manakala pembikinannya mengambil pendekatan penerbitan bebas seperti yang pernah dilakukan pada peringkat awal francais Friday the 13th. Kaedah tersebut membolehkan pasukan produksi mempunyai kebebasan kreatif dalam menentukan hala tuju filem tanpa terlalu bergantung pada keputusan studio besar.
Kepulangan Jason Voorhees turut menandakan kesinambungan francais Friday the 13th selepas hampir dua dekad tanpa filem cereka baharu, dengan naskhah terakhirnya merupakan filem Friday the 13th (2009).
JASON dijadualkan ditayangkan di pawagam Amerika Utara pada 13 Ogos 2027 menerusi Cineverse, manakala tarikh tayangannya di Malaysia masih belum diumumkan.
Sumber: Bloody Disgusting.
