Kakimuvee
Berita

Denis Villeneuve Kecewa Disney Tetapkan Tarikh Tayangan Avengers: Doomsday Serentak Dengan Dune: Part Three

Pengarah Dune: Part Three, Denis Villeneuve mengakui cukup kecewa dengan keputusan Disney menetapkan tarikh tayangan Avengers: Doomsday pada hari yang sama dengan filem arahannya, sekali gus menyaksikan dua filem blockbuster terbesar tahun ini bakal bertembung di pawagam.

Kedua-dua filem itu dijadualkan menemui penonton pada 18 Disember 2026 di Amerika Syarikat. Pertembungan tersebut turut mencetuskan fenomena yang digelar “Dunesday” dalam kalangan peminat, mengingatkan kembali kepada fenomena “Barbenheimer” yang tercetus menerusi tayangan serentak Barbie dan Oppenheimer pada tahun 2023.

Bagaimanapun, dalam wawancara bersama majalah TIME, Villeneuve meluahkan kebimbangannya mengenai persaingan di box office, lebih-lebih lagi selepas berdepan pelbagai cabaran ketika menayangkan dua filem terdahulu dalam francais Dune.

“Filem pertama Dune ditayangkan ketika pandemik hampir berakhir. Kami berjaya meraih kutipan yang baik dalam keadaan yang cukup mencabar. Begitu juga dengan filem kedua. Kami sepatutnya menayangkannya pada musim luruh, tetapi terpaksa menundanya sehingga penghujung musim sejuk berikutan dua mogok di Hollywood. Kami berjaya, tetapi ia bukan sesuatu yang mudah,” katanya.

Villeneuve pada mulanya berharap filem ketiga yang juga merupakan penutup kepada trilogi Dune arahannya dapat ditayangkan tanpa sebarang halangan besar seperti yang dihadapi sebelum ini.

“Tiada lagi pandemik dan tiada tanda-tanda akan berlakunya mogok. Saya fikir akhirnya kami dapat menayangkan filem ini dalam keadaan normal. Kemudian Disney meletakkan francais terbesar sepanjang zaman untuk berdepan dengan kami. Saya sedar betapa besarnya filem-filem tersebut.”

Untuk rekod, Avengers: Doomsday pada asalnya dijadualkan tayang pada 1 Mei 2026 sebelum Disney menundanya ke 18 Disember 2026, iaitu tarikh yang telah pun ditetapkan untuk Dune: Part Three.

Menurut Villeneuve, komitmen yang telah dibuat lebih awal dengan IMAX menyebabkan pihaknya tidak lagi dapat mengubah tarikh tayangan filem tersebut.

“Saya benar-benar kecewa. Tetapi kami sudah memberikan komitmen terhadap tarikh tersebut dan juga kepada IMAX. Mustahil untuk kami mengubahnya. Jadi, saya menerima keadaan ini dan hanya mampu berdoa.

“Dune mungkin tidak sebesar Avengers, tetapi ia ibarat haiwan kecil yang cukup menarik dan mempunyai kekuatan tersendiri. Saya harap kami mampu bertahan,” ujarnya.

Meskipun menyedari betapa besarnya pengaruh francais Avengers, Villeneuve tetap optimis bahawa tayangan kedua-dua filem tersebut mampu mencatatkan antara kutipan hujung minggu pembukaan terbesar dalam sejarah perfileman.

“Adakah saya bersaing dengan Avengers? Sama sekali tidak. Ia ibarat seekor T-Rex. Tetapi saya tetap berbangga kerana saya percaya filem ini mampu memberikan apa yang diharapkan oleh penonton.”

Dalam wawancara sama, Villeneuve turut berkongsi keterujaannya untuk mengarahkan filem baharu James Bond yang bakal menampilkan Robert Pattinson sebagai ejen 007. Menurutnya, beliau tidak berhasrat untuk mengubah identiti asal watak ikonik tersebut, sebaliknya mahu mengekalkan elemen tradisi francais itu dan membawanya ke era moden dengan sentuhan kreatifnya sendiri.

Dune: Part 3 akan memulakan tayangan awal di Malaysia pada 16 Disember ini, manakala Avengers: Doomday akan menyusul selepas itu iaitu pada 17 Disember 2026.

Sumber: Variety

Related posts

DISNEY PERNAH CUBA MEMILIKI FRANCAIS JAMES BOND SEBELUM AKHIRNYA DIMILIKI AMAZON

Karim Khan

Prime Video Kongsi Pandangan Pertama Siri ‘Carrie’, Adaptasi Baharu Karya Ikonik Stephen King

Karim Khan

Andy Muschietti Dedah Musim Kedua ‘It: Welcome to Derry’ Tampilkan Suasana Pekan Derry Paling Gelap

Karim Khan

Crawl Bakal Kembali Dengan Sekuel, Mason Gooding & Emily Rudd Membintangi Filem Baharu

Karim Khan

National Treasure 3 Bakal Jadi Kenyataan, Skrip Sudah Siap

Karim Khan

Spider-Man: Brand New Day Kekal No. 1, Insidious 6 Raih AS$60 Juta Global

Farah

Leave a Comment