
Pelakon Hayden Panettiere, yang dikenali menerusi siri Heroes dan Nashville, meninggal dunia pada usia 36 tahun.
Kematian Panettiere dilaporkan oleh ABC News. Bagaimanapun, butiran mengenai punca dan keadaan di sebalik kematiannya masih belum didedahkan.
Bapanya, Skip Panettiere, mengesahkan berita tersebut menerusi satu kenyataan dan meminta ruang privasi untuk keluarga mereka menghadapi kehilangan berkenaan.
“Dengan penuh kesedihan, kami berkongsi pemergian tragik Hayden yang amat kami sayangi,” kata Skip Panettiere dalam kenyataan tersebut.
Beliau menyifatkan Hayden sebagai seorang yang luar biasa dan membawa kasih sayang serta kegembiraan kepada mereka yang mengenalinya, selain kepada jutaan penonton yang menyaksikan lakonannya di skrin.
Hayden Panettiere memulakan kerjayanya sebagai pelakon kanak-kanak sebelum membina kerjaya panjang dalam filem dan televisyen.
Namanya paling dikenali menerusi watak Claire Bennet dalam siri popular Heroes serta Juliette Barnes dalam drama muzikal Nashville.
Selain televisyen, Panettiere turut membintangi beberapa filem termasuk Remember the Titans, Raising Helen, Ice Princess dan Scream 4.
Sepanjang hidupnya, Panettiere juga terbuka mengenai cabaran yang dihadapinya sejak zaman kanak-kanak sehingga dewasa.
Pada Mei lalu, beliau menerbitkan memoir bertajuk This Is Me: A Reckoning, yang mengisahkan pengalaman hidupnya.
Pemergian Panettiere pada usia 36 tahun meninggalkan legasi lakonan yang merangkumi karya televisyen dan filem sepanjang beberapa dekad.
