Kakimuvee
BeritaHorror

Andy Muschietti Dedah Musim Kedua ‘It: Welcome to Derry’ Tampilkan Suasana Pekan Derry Paling Gelap

It: Welcome to Derry

Pengarah Andy Muschietti mendedahkan bahawa musim kedua siri It: Welcome to Derry akan membawa penonton ke era yang jauh lebih suram apabila latar masanya diundurkan ke tahun 1935, ketika Amerika Syarikat sedang berdepan Kemelesetan Besar (Great Depression).

Menurut laporan ComingSoonyang memetik temu bual bersama Variety, bilik penulis untuk musim kedua kini sudah pun memulakan proses pembangunan cerita.

Musim baharu ini akan mengadaptasi salah satu bab dalam novel asal Stephen King yang dikenali sebagai Bradley Gang Massacre. Kisah tersebut memfokuskan sekumpulan penjenayah yang bersembunyi di bandar Derry ketika melarikan diri daripada ejen persekutuan, sambil melakukan keganasan terhadap pemilik kedai di kawasan tersebut.

Latar masa ini berlaku 27 tahun sebelum peristiwa dalam musim pertama, yang memfokuskan kehilangan seorang kanak-kanak ketika era Perang Dingin.

Menurut Muschietti, suasana Kemelesetan Besar akan menjadi elemen penting dalam penceritaan musim kedua.

Beliau menjelaskan bahawa kebanyakan watak dalam siri itu hidup dalam keadaan serba kekurangan dan terdesak untuk meneruskan kehidupan, sehingga sanggup melakukan perkara di luar jangkaan demi kelangsungan hidup.

Muschietti turut menegaskan bahawa siri tersebut tidak akan mengabaikan realiti sosial dan budaya yang berlaku pada zaman itu. Sebaliknya, unsur-unsur gelap tersebut akan menjadi tunjang utama kepada keseluruhan jalan cerita.

Dari segi visual pula, Derry akan dipersembahkan dengan imej yang jauh berbeza berbanding musim pertama. Muschietti menggambarkan bandar itu seolah-olah sebuah “bandar mati”, dihuni penduduk yang miskin, keletihan, menganggur dan kehilangan tempat tinggal.

Keadaan itu turut memberi kesan kepada kehidupan kanak-kanak dalam siri ini. Mereka tidak lagi menikmati kehidupan pinggir bandar yang selesa, malah ada yang menjadi yatim piatu atau hidup sebagai pelarian, sekali gus menjadikan suasana keseluruhannya lebih suram.

Walaupun begitu, Muschietti berkata masih terdapat sinar harapan yang menjadi pemangkin kepada kumpulan watak baharu untuk terus berjuang mengharungi segala cabaran.

Beliau turut mengesahkan bahawa setiap era dalam dunia It akan terus saling berkait menerusi hubungan keturunan sesebuah keluarga, sekali gus menghubungkan jalan cerita antara musim-musim yang berbeza.

Buat masa ini, HBO masih belum mengumumkan tarikh tayangan rasmi untuk It: Welcome to Derry musim kedua.

SUBSCRIBE

Berita, review dan suggestion filem & siri tv terus ke e-mel anda

Kami tak spam! baca privacy policy untuk info lanjut.

Related posts

Pendulum: Filem Seram Terbaharu Lakonan Joseph Gordon-Levitt Kini Dedah Teaser

Karim Khan

The End Of Oak Street: Risau Dengan Nasib Starbuck? Anne Hathaway Dedahkan Spoiler

Karim Khan

Era HiAnime Berakhir, Tujuh Dalang Laman Penstriman Anime Haram Diberkas

Karim Khan

Inde Navarrette Mahu Bawa Watak Mystique Ke MCU, Akui Sudah Bertemu Pengarah X-Men

Karim Khan

Gambar Pertama Coco 2: Miguel Kini Remaja, Bakal Kembali Ke Alam Kematian

Karim Khan

Filem Aksi Jenayah Mandarin Dinanti Ramai, Cold War 1994, Sah Ditayangkan di Malaysia Mulai 1 Mei

Karim Khan

Leave a Comment