
HBO dan DC Studios secara rasmi melancarkan treler baharu untuk siri drama Lanterns ketika berlangsungnya San Diego Comic-Con, sekali gus memberikan gambaran lebih jelas mengenai siri yang dinanti-nantikan itu.
Siri sci-fi misteri sebanyak lapan episod ini dibintangi Kyle Chandler sebagai Green Lantern veteran, Hal Jordan, bersama Aaron Pierre yang membawa watak John Stewart, rekrut baharu yang bakal menjadi rakan sepasukannya.
Dicipta oleh Tom King, Damon Lindelof dan showrunner Chris Mundy, Lanterns mengisahkan Hal Jordan dan John Stewart, dua pengaman antara galaksi yang dihantar ke sebuah kawasan luar bandar di Nebraska untuk menyiasat satu kes pembunuhan misteri yang mempunyai kaitan dengan makhluk asing Manhunters yang berupaya berubah bentuk.
Treler terbaharu itu turut memperlihatkan penampilan pertama Ulrich Thomsen sebagai Sinestro, bekas mentor Hal Jordan yang kini menjadi musuh utamanya. Selain itu, treler berkenaan turut menampilkan kemunculan istimewa Nathan Fillion yang mengulangi wataknya sebagai Guy Gardner.
Siri ini diterbitkan oleh James Gunn dan Peter Safran selaku Ketua Pegawai Eksekutif Bersama DC Studios bersama barisan penerbit eksekutif lain. Turut membintangi Lanterns ialah Kelly Macdonald, Laura Linney, Paula Patton, Garret Dillahunt, Poorna Jagannathan, Nicole Ari Parker, Jason Ritter, Sherman Augustus dan Paul Ben-Victor.
Lanterns dijadualkan membuat tayangan perdana global di HBO pada 16 Ogos ini.
Sumber: Hypebeast
