Pelakon dan pemuzik terkenal, Jared Leto, menjadi tumpuan selepas sebuah dokumentari BBC bertajuk Jared Leto: Hollywood’s Dark Secret memaparkan dakwaan daripada 10 wanita yang mendakwa pernah berdepan pengalaman ‘tidak wajar’ melibatkan bintang tersebut.
Menurut laporan Variety, sembilan daripada mereka tampil berkongsi kisah masing-masing buat pertama kali. Dakwaan yang dikemukakan melibatkan kejadian yang didakwa berlaku antara tahun 2002 hingga 2016.
Empat wanita mendakwa insiden berkenaan berlaku ketika mereka masih di bawah umur. Antara dakwaan yang dibuat termasuk layanan ‘tidak wajar,’ ugutan serta perlakuan yang didakwa melanggar undang-undang. Seorang lagi wanita turut mendakwa pernah diminta menandatangani perjanjian kerahsiaan (NDA), namun memilih untuk tidak berbuat demikian.
Empat wanita lain pula mendakwa Leto sering menghubungi mereka dengan perbualan yang disifatkan sebagai tidak sesuai ketika mereka masih remaja.
BBC turut memaklumkan bahawa beberapa dakwaan itu disokong menerusi keterangan ahli keluarga dan rakan-rakan yang mengetahui mengenai kejadian tersebut, selain bahan seperti mesej dan gambar yang didakwa menyokong pengakuan mereka.
Dokumentari itu juga menampilkan dua bekas kru kumpulan Thirty Seconds to Mars yang mendakwa mereka berasa kurang selesa dengan cara Leto berinteraksi dengan peminat wanita yang masih muda ketika berada di belakang pentas dan lokasi rakaman.
Ini bukan kali pertama Leto dikaitkan dengan dakwaan seumpama itu. Pada tahun lalu, seorang DJ dari Los Angeles, Allie Teilz, turut membuat dakwaan terhadap pelakon berkenaan. Pada Jun 2025, sembilan wanita lain turut mengemukakan dakwaan serupa menerusi laporan Air Mail, namun Leto menafikan semua tuduhan tersebut.
Sehingga kini, wakil Jared Leto masih belum mengeluarkan kenyataan rasmi kepada Variety berhubung dakwaan terbaharu ini. Semua dakwaan yang dikemukakan masih belum dibuktikan di mahkamah dan Leto tidak disabitkan dengan sebarang kesalahan berkaitan kes ini.
Sumber: Variety

