
Netflix telah melancarkan trailer teaser pertama untuk siri seram terbaharunya, Below, yang dijadualkan menemui penonton pada 8 Oktober 2026. Siri enam episod ini dihasilkan oleh Jesse McKeown, pencipta yang sebelum ini terkenal menerusi The Umbrella Academy.
Below dibintangi oleh Josh Hartnett sebagai Calvin, seorang nelayan berpengalaman yang terpaksa mempertaruhkan nyawanya demi melindungi keluarga serta komuniti kecilnya apabila seekor makhluk laut misteri mula mengganas di sebuah pekan terpencil di Newfoundland, Kanada.
Turut membintangi siri ini ialah Charlie Heaton, Mackenzie Davis, Rohan Campbell, Ruby Stokes, Kaleb Horn dan Willow Kean.
Menurut sinopsis yang dikongsikan oleh Entertainment Weekly, Calvin tidak bersendirian dalam misinya. Demi memastikan anaknya, Wade (Charlie Heaton), serta keluarganya selamat, dia berganding bahu dengan penyelidik marin, Fonda (Mackenzie Davis), untuk membongkar identiti makhluk yang bersembunyi di dasar laut. Dalam masa sama, mereka turut menemui sejarah gelap pulau tersebut yang sekian lama tersembunyi.
Jesse McKeown menjelaskan bahawa masyarakat di Newfoundland telah lama berdepan pelbagai tragedi dan fenomena yang sukar dijelaskan.
“Penduduk di sini telah berdepan pelbagai kejadian aneh dan tragedi selama ratusan tahun. Ribut maut, bencana maritim, kejatuhan industri perikanan ikan kod, kebuluran dan musim sejuk yang mencabar. Bertahan hidup di sini sendiri sudah seperti sebuah filem seram. Jadi, kemunculan peristiwa pelik ini terasa sebati dengan sejarah panjang kesukaran yang dialami penduduk tempatan,” katanya.
McKeown turut mendedahkan bahawa Below mendapat inspirasi daripada karya dua legenda filem terkenal, Steven Spielberg dan John Carpenter, yang terkenal dengan gabungan elemen seram, misteri dan pengembaraan.
Dengan latar perkampungan terpencil, atmosfera yang suram serta ancaman makhluk laut yang misteri, Below dilihat berpotensi menjadi antara siri seram Netflix yang paling dinantikan tahun ini.
Siri terhad enam episod Below akan mula distrim secara eksklusif di Netflix pada 8 Oktober 2026.





Sumber: Bloody Disgusting
