
Netflix telah melancarkan trailer pertama untuk siri Korea terbaharu Dead-End Job, sebuah naskhah seram fantasi yang dibintangi Lee Jae-wook dan Go Min-si.
Siri lapan episod itu dijadualkan menemui penonton pada 30 Oktober ini, tepat pada masanya untuk mereka yang mencari tontonan seram menjelang sambutan Halloween.
Dead-End Job, yang sebelum ini menggunakan judul Perfect Job, diarahkan oleh Kim Da-min dan Han Jun-hee dengan gabungan elemen seram, fantasi dan komedi.
Kisahnya mengikuti Byeon Hyeok-jun (Lee Jae-wook), seorang pemuda yang sedang menjalani khidmat ketenteraan wajib dan memerlukan wang tambahan. Dia kemudian menerima tawaran kerja sambilan daripada sebuah agensi pekerjaan misteri bernama Spyder Human Resource Center.
Tawaran tersebut sememangnya sukar untuk ditolak kerana menjanjikan bayaran sehingga 50 kali ganda lebih tinggi daripada kadar upah sejam biasa.
Namun, pekerjaan yang pada awalnya kelihatan terlalu bagus untuk dilepaskan itu bertukar menjadi mimpi ngeri apabila Hyeok-jun mula berdepan pelbagai kejadian pelik dan menakutkan.
Selain Lee Jae-wook, siri ini turut dibintangi Go Min-si sebagai Yeon-ju, seorang penyiasat yang berusaha membongkar kebenaran di sebalik kejadian misteri yang dikaitkan dengan Spyder Human Resource Center.
Kim Min-ha pula membawakan watak Byeon Ji-yun, adik Hyeok-jun yang berpegang kepada prinsip bahawa "kemiskinan lebih menakutkan daripada hantu."
Turut menyertai barisan pelakon ialah Lee Hee-joon sebagai Kang-jun, atau lebih dikenali sebagai Mr. S, individu yang mengetuai Spyder Human Resource Center.
Dead-End Job menandakan satu lagi projek Netflix buat Lee Jae-wook selepas membintangi beberapa K-drama yang tersedia di platform tersebut termasuk Alchemy of Souls. Pelakon itu juga merupakan teraju utama siri Dear Hongrang.
Produksi Dead-End Job bermula pada April 2025 sebelum penggambaran selesai pada November tahun sama.
Kesemua lapan episod Dead-End Job akan ditayangkan di Netflix bermula 30 Oktober 2026.

