Peminat filem seram psikologi bakal disajikan dengan sebuah lagi naskhah mendebarkan apabila The Eyes, adaptasi Korea Selatan daripada filem Sepanyol Julia’s Eyes, akan menemui penonton di pawagam Malaysia bermula 23 Julai ini.
Filem arahan Yeom Ji-ho itu menampilkan pelakon terkenal Shin Min-ah sebagai watak utama, yang sebelum ini dikenali menerusi drama popular Hometown Cha-Cha-Cha dan No Gain No Love. Turut membintangi filem ini ialah Kim Nam-hee dan Kim Yeong-ah.
The Eyes merupakan adaptasi kepada filem seram thriller psikologi Sepanyol Julia’s Eyes (2010), yang diarahkan oleh Guillem Morales dan diterbitkan oleh pembikin filem terkenal Guillermo del Toro.
Kisahnya mengikuti seorang wanita yang semakin kehilangan deria penglihatannya ketika menyiasat kematian misteri kakak kembarnya. Dalam usahanya mencari kebenaran, dia mula menyedari kewujudan satu ancaman gelap yang semakin menghimpit dirinya.

Filem asal Julia’s Eyes menerima pujian daripada pengkritik dengan memperoleh skor 90% di Rotten Tomatoes berdasarkan 39 ulasan, selain dipuji kerana jalan ceritanya yang bijak, penuh debaran serta visual yang unik.
Populariti kisah ini turut membawa kepada beberapa adaptasi di India, termasuk Adrushya (Marathi, 2021), Blurr (Hindi, 2022), Unpaarvaiyil (Tamil, 2025) dan Divya Drushti (Telugu, 2025).
Versi Korea Selatan yang ditayangkan pada 24 Jun lalu turut menerima sambutan menggalakkan. Menurut laporan Sports Chosun, filem itu berjaya menarik kira-kira 232,950 penonton antara 26 hingga 28 Jun, sebelum jumlah keseluruhan penonton melepasi 305,000 tidak lama selepas tayangannya.
Penonton memuji elemen saspens, pengarahan Yeom Ji-ho serta lakonan Shin Min-ah yang disifatkan sebagai antara kekuatan utama filem ini. Selain itu, suasana mendebarkan dan pengakhiran yang mengejutkan turut menjadi antara aspek yang mendapat perhatian.
Diterbitkan oleh Studio Dream Capture dan Time Heist, The Eyes akan diedarkan di Malaysia oleh GSC Cinemas dan dijadualkan menemui penonton di pawagam seluruh negara bermula 23 Julai 2026.
Sumber: Yahoo News Malaysia, Sports Chosun
