
Pelakon muda OKU pendengaran yang dikenali menerusi francais Godzilla x Kong, Kaylee Hottle, dilaporkan meninggal dunia dalam satu kemalangan jalan raya pada awal pagi Selasa di Maryland, Amerika Syarikat. Beliau berusia 18 tahun.
Berita sedih itu disahkan oleh bapanya, Joshua Hottle, yang berkongsi perkara tersebut menerusi satu siaran langsung di Facebook menggunakan bahasa isyarat Amerika (ASL), sebelum mengesahkannya kepada TMZ.
Menurut Joshua, beliau berada di Texas ketika menerima panggilan daripada pihak berkuasa mengenai kemalangan tersebut.
Tidak lama kemudian, beliau dimaklumkan bahawa jantung Kaylee telah terhenti ketika dalam perjalanan ke hospital. Joshua kemudian berlepas ke Maryland untuk menguruskan jenazah anaknya.
Dalam hantaran di Facebook, Joshua menulis kapsyen yang menyentuh hati:
“Saya sedang menaiki penerbangan yang tidak pernah saya sangka perlu saya naiki.”
Rata-rata pengguna media sosial membanjiri ruangan komen dengan ucapan takziah serta mengenang Kaylee sebagai seorang remaja yang baik hati dan berbakat.
Kaylee mula mencuri perhatian menerusi filem Godzilla vs. Kong (2021) sebagai Jia, seorang kanak-kanak OKU pendengaran yang berkomunikasi dengan Kong menggunakan bahasa isyarat. Persembahannya mendapat pujian ramai, termasuk daripada rakan pelakon Rebecca Hall dan Alexander Skarsgård.
Dalam satu temu bual sebelum ini, Kaylee pernah menegaskan bahawa pelakon OKU pendengaran wajar diberikan peluang membawakan watak pekak kerana mereka lebih memahami bahasa dan budaya komuniti tersebut.
Beliau mengulangi watak Jia dalam Godzilla x Kong: The New Empire (2024) dan turut muncul dalam siri televisyen Magnum P.I.
Pemergian Kaylee disifatkan sebagai satu kehilangan besar buat industri hiburan serta komuniti OKU pendengaran yang menganggapnya sebagai antara bakat muda paling berpotensi di Hollywood.
Sumber: PageSix
