
Penggabungan Paramount dan Warner Bros. Discovery yang dimuktamadkan pada 6 Oktober lalu nampaknya telah membuka kembali perbincangan mengenai masa depan SnyderVerse, apabila peminat Zack Snyder mula mendesak pihak pengurusan baharu supaya menghidupkan semula dunia sinematik DC yang dibangunkan pengarah tersebut.
Desakan itu muncul selepas Ketua Pegawai Eksekutif Skydance, David Ellison, menerusi satu hantaran di platform X, mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan penggabungan kedua-dua syarikat berkenaan.
Tidak lama selepas hantaran tersebut diterbitkan, ruangan komen mula dibanjiri dengan tanda pagar #RestoreTheSnyderVerse serta permintaan supaya Zack Snyder dibawa kembali untuk menghasilkan sekuel Justice League.
Sebahagian peminat turut mencadangkan agar filem-filem arahan Snyder ditayangkan semula di pawagam bagi mengukur sambutan penonton, manakala ada juga yang mengkritik hala tuju DC Universe (DCU) di bawah kepimpinan James Gunn.
Bagaimanapun, desakan peminat tersebut tidak bermakna SnyderVerse akan dihidupkan semula, memandangkan tiada sebarang pengumuman rasmi dibuat oleh pihak pengurusan baharu Warner Bros. atau DC Studios.
Malah, menurut laporan The Hollywood Reporter, Ellison sebelum ini telah bertemu dengan James Gunn dan Peter Safran pada 1 Oktober lalu serta menawarkan supaya kedua-duanya terus menerajui DC Studios.
Dalam pertemuan itu, Ellison dilaporkan meminta mereka meneruskan perancangan sedia ada, sekali gus memberi gambaran bahawa tiada perubahan segera terhadap kepimpinan DC Studios.
Sementara itu, DCU kini sedang meneruskan beberapa projek yang telah dirancang, termasuk Clayface yang dijadualkan ditayangkan pada 23 Oktober 2026, diikuti Superman: Man of Tomorrow pada 9 Julai 2027.
James Gunn juga baru-baru ini mengesahkan bahawa beliau sudah mula menulis skrip untuk filem seterusnya, namun belum mendedahkan judul atau butiran lanjut mengenai projek tersebut.
Buat masa ini, masa depan SnyderVerse masih belum mempunyai sebarang perkembangan rasmi, sementara DC Studios terus bergerak dengan perancangan DCU di bawah Gunn dan Safran.
Sumber: ixbt.games, The Hollywood Reporter
