
Kejayaan luar biasa filem seram ‘Obsession’ telah mencetuskan perbincangan dikalangan peminat, khususnya mengenai isu bayaran pelakon dan kru produksi.
Filem yang dihasilkan dengan bajet hanya sekitar AS$750,000 itu kini telah meraih lebih AS$400 juta di pawagam seluruh dunia, dan dijangka akan terus meningkat dalam beberapa minggu yang akan datang.
Perbincangan bermula selepas pengarah seni filem tersebut, Sally Choi, mendakwa beliau hanya menerima bayaran sekitar AS$6,000 untuk hasil kerjanya.
Tidak lama kemudian, timbul pula dakwaan bahawa bintang utama filem itu, Inde Navarrette, hanya dibayar AS$20,000 bagi membintangi Obsession.
Walaupun Navarrette masih belum mengesahkan jumlah sebenar bayaran yang diterimanya, pelakon siri HBO Max, The Pitt, Supriya Ganesh, tampil menjelaskan bahawa pelakon filem bebas (indie) sering berdepan pelbagai kos tersembunyi selepas sesebuah filem mencapai kejayaan.
Menurut Ganesh, pelakon biasanya perlu menanggung sendiri sebahagian kos promosi seperti khidmat perhubungan awam (PR), solekan, dandanan rambut dan penggayaan pakaian untuk menghadiri acara rasmi.
Selain itu, mereka juga perlu membayar komisen ejen, pengurus dan peguam, sekali gus mengurangkan pendapatan sebenar yang diterima.
“Saya juga rasa ramai yang tidak memahami kos perniagaan di sebalik kejayaan seperti ini. Anda perlu membayar khidmat perhubungan awam (PR) yang biasanya mencecah sekitar AS$5,000 sebulan selama tiga bulan.”
“Setiap acara yang dihadiri pula memerlukan kos sekitar AS$3,000 hingga AS$5,000 untuk solekan, dandanan rambut dan penggayaan pakaian.”
“Jika dia sudah menghadiri tiga hingga lima acara, itu sahaja sudah boleh menyebabkan dia mengalami kerugian,” Ganesh di media sosial sebagai respons kepada dakwaan bahawa Navarrette hanya menerima bayaran AS$20,000 untuk membintangi filem tersebut.
Ganesh turut menjelaskan bahawa kebanyakan filem indie tidak menyediakan peruntukan penuh untuk kos promosi, melainkan jika dipersetujui oleh syarikat yang membeli hak pengedaran filem tersebut.
Bagaimanapun, beliau percaya kejayaan besar Obsession tetap memberi manfaat besar kepada Navarrette.
Sejak filem itu ditayangkan, populariti pelakon tersebut melonjak dengan jumlah pengikut Instagram melebihi 1.5 juta, selain membuat kemunculan pertama dalam rancangan bual bicara Jimmy Kimmel Live!
Navarrette juga dikhabarkan sedang dipertimbangkan untuk membintangi sebuah filem terbitan A24, dan juga dilaporkan sedang dirisik untuk membintangi sekuel filem Heat 2disamping Leonardo DiCaprio dan Christian Bale.
Sumber: BroBible
