
Filem terbaru Sony Pictures dan Marvel Studios, Spider-Man: Brand New Day mencipta sejarah apabila meraih kutipan pembukaan luar biasa sebanyak AS$927 jutadi seluruh dunia pada hujung minggu pertama tayangan.
Daripada jumlah itu, sebanyak AS$355 juta disumbangkan oleh pasaran Amerika Utara menerusi tayangan di 4,487 pawagam, sekali gus menjadikannya kutipan pembukaan domestik kedua terbesar dalam sejarah, hanya di belakang Avengers: Endgame (2019) yang meraih AS$357 juta. Malah, angka rasmi pada Isnin berpotensi melepasi rekod tersebut.
Pencapaian itu jauh meninggalkan rekod pembukaan filem lain, dengan Spider-Man: No Way Home (2021) berada di tempat ketiga menerusi kutipan AS$260 juta, diikuti Avengers: Infinity War (2018) sebanyak AS$257 juta. Marvel Studios kini memegang empat rekod pembukaan terbesar dalam sejarah box office Amerika Utara.
Kutipan Antarabangsa Cecah AS$573 Juta
Di peringkat antarabangsa, Spider-Man: Brand New Day mengutip AS$573 juta, menjadikan jumlah keseluruhan mencecah AS$927 juta di seluruh dunia. Ia kini menjadi pembukaan global kedua terbesar sepanjang zaman selepas Avengers: Endgame, yang pernah mencatat AS$1.2 bilion pada hujung minggu pertama tayangannya.
Filem arahan Destin Daniel Cretton itu dilaporkan menelan kos penerbitan sekitar AS$225 juta, tidak termasuk perbelanjaan pemasaran.
Selain prestasi box office yang memberangsangkan, filem ini turut menerima sambutan positif daripada pengkritik dan penonton dengan skor 90% di Rotten Tomatoes serta penarafan “A” menerusi tinjauan CinemaScore.
Presiden Marvel Studios, Kevin Feige, menyifatkan pencapaian tersebut sebagai sesuatu yang luar biasa.
“Ini merupakan pembukaan yang benar-benar luar biasa dan kami berterima kasih kepada penonton di seluruh dunia kerana hadir menyaksikan filem ini sebagaimana ia sepatutnya ditonton.”
“Sambutan ini membuktikan kekuatan karakter Marvel yang masih mempunyai hubungan erat dengan peminat di seluruh dunia, selain membuka jalan kepada pelbagai kisah menarik yang bakal menyusul.”
Spider-Man Dan The Odyssey Cipta Hujung Minggu Bersejarah

Walaupun fenomena Spider-Man: Brand New Day mendominasi pawagam, filem epik arahan Christopher Nolan, The Odyssey, masih mencatat prestasi kukuh apabila mengutip AS$51 juta pada minggu ketiga tayangan.
Gabungan kedua-dua filem itu membantu mencipta hujung minggu terbesar dalam sejarah box office dengan jumlah kutipan sekitar AS$430 juta untuk semua filem yang sedang ditayangkan. Rekod sebelum ini dipegang oleh hujung minggu tayangan Avengers: Endgame dengan kutipan keseluruhan AS$402 juta.
Brand New Day Buktikan Spider-Man Masih Jadi Tarikan Utama
Selepas beberapa filem Marvel sejak pandemik gagal memenuhi jangkaan kutipan seperti The Marvels, Ant-Man and the Wasp: Quantumania, Captain America: Brave New World, Thunderbolts dan The Fantastic Four: First Steps, ramai penganalisis beranggapan penonton mula mengalami “keletihan superhero”.
Menurut penganalisis box office Jeff Bock, penonton semakin penat dengan jalan cerita yang terlalu saling berkait sehingga menjadikan pengalaman menonton seperti perlu menyiapkan “kerja rumah”.
Namun, Spider-Man: Brand New Day membuktikan sebaliknya apabila berjaya menarik minat penonton melalui pendekatan baharu yang berfungsi sebagai permulaan semula (reset) kepada perjalanan Peter Parker selepas pengakhiran dramatik Spider-Man: No Way Home.
Dalam filem terdahulu, Peter Parker lakonan Tom Holland memilih untuk memadamkan identitinya daripada ingatan seluruh dunia demi menyelamatkan multiverse, menyebabkan MJ (Zendaya) dan Ned (Jacob Batalon) langsung tidak lagi mengenalinya.
Rasa ingin tahu terhadap kesan keputusan tersebut, termasuk misteri watak yang dilakonkan Sadie Sink, menjadi antara faktor utama yang mendorong jualan tiket luar biasa sehingga beberapa rangkaian pawagam menjadualkan tayangan setiap 15 minit sepanjang hari.
Rekod Baharu Format Premium
Walaupun tidak ditayangkan di IMAX kerana semua slot IMAX masih dikhaskan untuk The Odyssey sepanjang tiga minggu pertama tayangannya, Spider-Man: Brand New Day tetap mendominasi format premium lain.
Filem itu mencipta rekod pembukaan baharu untuk Dolby Cinema dengan kutipan domestik AS$10 juta, selain merekodkan AS$17 juta secara global menerusi format 4DX dan AS$14.4 juta melalui ScreenX.
Pengerusi Sony Pictures Motion Picture Group, Tom Rothman, berkata kejayaan filem itu membuktikan tema persahabatan yang diketengahkan berjaya menyentuh hati penonton di seluruh dunia.
Francais Spider-Man Terus Meningkat
Siri Spider-Man lakonan Tom Holland juga terus menunjukkan peningkatan dari segi kutipan box office.
Spider-Man: Homecoming (2017) menamatkan tayangan dengan kutipan AS$880 juta di seluruh dunia, diikuti Spider-Man: Far From Home (2019) yang meraih AS$1.13 bilion.
Kemudian, Spider-Man: No Way Home menjadi fenomena global dengan kutipan sekitar AS$1.9 bilion hasil kemunculan tiga generasi Spider-Man iaitu Tom Holland, Tobey Maguire dan Andrew Garfield dalam satu filem.
Walaupun masa depan Holland sebagai Spider-Man masih belum dipastikan sepenuhnya selepas pelakon itu mendedahkan Marvel sedang merancang penggantinya pada masa hadapan, kejayaan luar biasa Brand New Day dijangka mengukuhkan lagi kedudukannya dalam francais tersebut.
Marvel Studios kini dijangka meneruskan momentum itu menerusi Avengers: Doomsday yang bakal ditayangkan pada Disember ini.
The Odyssey Hampiri AS$1 Bilion

Dalam perkembangan lain, The Odyssey kini telah mengumpul lebih AS$911 juta di seluruh dunia selepas tiga minggu tayangan, termasuk AS$395.5 juta di Amerika Utara dan AS$515 juta daripada pasaran antarabangsa.
Filem itu bersama Spider-Man: Brand New Day dijangka menjadi filem keempat dan kelima tahun ini yang melepasi kutipan AS$1 bilion, selepas Toy Story 5, The Super Mario Galaxy Movie dan Michael.
Penganalisis industri turut menjangkakan prestasi kukuh kedua-dua filem ini mampu membantu musim panas tahun ini melepasi kutipan AS$4 bilion, selain membuka peluang industri perfileman Hollywood kembali mencatat kutipan tahunan AS$10 bilion buat kali pertama sejak pandemik COVID-19.
Sumber: Variety
Klik link untuk membaca ulasan The Odyssey dan Spider-Man: Brand New Day
