
Dunia perfileman antarabangsa dikejutkan dengan berita pemergian pelakon legenda, Sam Neill, yang terkenal menerusi watak Dr. Alan Grant dalam francais Jurassic Park. Pelakon kelahiran New Zealand itu meninggal dunia pada usia 78 tahun.
Berita pemergiannya diumumkan menerusi satu kenyataan yang dimuat naik di akaun Instagram rasmi beliau pada Isnin. Menurut kenyataan tersebut, Sam Neill menghembuskan nafas terakhir di Sydney, Australia, dikelilingi ahli keluarga terdekat.
Pihak keluarga memaklumkan bahawa pemergian beliau berlaku secara mengejut, namun bersyukur kerana Neill disahkan bebas daripada kanser selepas menjalani rawatan sejak beberapa tahun lalu. Mereka turut merakamkan penghargaan kepada kakitangan Hospital St Vincent’s Private atas segala usaha dan penjagaan yang diberikan sepanjang tempoh rawatan.
Sam Neill sebelum ini mendedahkan beliau disahkan menghidap angioimmunoblastic T-cell lymphoma, sejenis kanser darah tahap tiga, pada tahun 2022. Kisah perjuangannya melawan penyakit itu turut dikongsikan menerusi memoirnya, Did I Ever Tell You About This?, yang diterbitkan pada 2023. Ketika itu, beliau mengesahkan penyakitnya berada dalam fasa remisi walaupun masih perlu menjalani rawatan berkala.

Sepanjang lebih lima dekad bergelar pelakon, Sam Neill membina kerjaya yang cukup cemerlang dengan lebih 150 kredit lakonan. Namanya melonjak ke peringkat antarabangsa pada tahun 1993 apabila membintangi dua filem besar, iaitu The Piano dan Jurassic Park arahan Steven Spielberg.
Watak Dr. Alan Grant yang dibawakannya terus menjadi antara karakter paling ikonik dalam sejarah filem dan menyaksikan beliau kembali mengulangi peranan tersebut menerusi Jurassic Park III (2001) serta Jurassic World Dominion (2022).
Selain francais Jurassic Park, Neill turut membintangi pelbagai filem terkenal seperti The Hunt for Red October, Dead Calm, Event Horizon, The Jungle Book, In the Mouth of Madness, The Dish, Peter Rabbit serta filem popular arahan Taika Waititi, Hunt for the Wilderpeople. Di kaca televisyen pula, beliau dikenali menerusi siri Peaky Blinders, The Tudors dan The Twelve.
Atas sumbangannya yang besar kepada dunia seni, Sam Neill menerima pelbagai pengiktirafan sepanjang hayatnya, termasuk gelaran “Sir” pada tahun 2022 daripada kerajaan New Zealand.
Pemergian Sam Neill merupakan kehilangan besar buat industri perfileman dunia. Beliau meninggalkan empat orang anak, lapan cucu serta legasi lakonan yang akan terus dikenang oleh jutaan peminat di seluruh dunia, khususnya menerusi watak Dr. Alan Grant yang menjadikannya ikon dalam sejarah filem moden.
Sumber: The Guardian
