
Kalau anda sedang mencari filem Korea untuk mengisi masa lapang hujung minggu ini, Netflix menawarkan pelbagai pilihan menarik yang sesuai dengan citarasa berbeza – daripada thriller psikologi dan aksi penuh kekerasan, hinggalah kisah seram misteri serta drama romantik yang lebih santai.
Enam filem pilihan ini masing-masing mempunyai daya tarikan tersendiri, sama ada menerusi jalan cerita, lakonan, aksi, visual atau atmosfer yang dibawakan. Jadi, jika anda masih belum tahu mahu menonton apa hujung minggu ini, mungkin salah satu daripada filem berikut boleh menjadi pilihan untuk menemani waktu santai anda.
6. Unlocked

Genre: Thriller, Misteri, Jenayah
Pelakon: Chun Woo-hee, Yim Si-wan, Kim Hee-won
Bayangkan telefon pintar anda hilang dan orang yang menemuinya bukan sahaja boleh mengakses gambar serta mesej, tetapi hampir keseluruhan kehidupan anda.
Itulah premis Unlocked, yang mengikuti Na-mi (Chun Woo-hee), seorang wanita biasa yang kehilangan telefon pintarnya. Telefon tersebut ditemui oleh Jun-yeong (Yim Si-wan), seorang lelaki yang memasang perisian pengintip sebelum memulangkannya kepada Na-mi.
Tanpa disedari mangsa, Jun-yeong mula mengetahui lokasi, rutin harian, pekerjaan, hubungan sosial dan pelbagai rahsia peribadinya.
Unlocked mempunyai premis yang sangat dekat dengan kehidupan moden dan menjadi semakin mengganggu apabila kita sedar betapa banyak maklumat peribadi tersimpan dalam telefon.
Chun Woo-hee memberikan persembahan yang meyakinkan sebagai mangsa, manakala Yim Si-wan pula cukup menyeramkan dalam watak antagonisnya. Namun, filem ini sedikit terhad oleh beberapa perkembangan cerita yang terasa agak mudah dijangka.
Kenapa perlu tonton?
Sesuai untuk anda yang suka thriller tentang stalker, privasi digital dan manipulasi psikologi. Premisnya juga cukup mudah untuk membuatkan penonton sentiasa menjaga telefon bimbit masing-masing.
5. Badland Hunters

Genre: Aksi, Fiksyen Sains, Misteri, Thriller
Pelakon: Ma Dong-seok, Lee Hee-joon, Roh Jeong-eui, Lee Jun-young
Selepas satu gempa bumi dahsyat mengubah Seoul menjadi kawasan tandus tanpa undang-undang, kehidupan manusia berubah menjadi perjuangan untuk terus hidup.
Dalam keadaan itu, Nam-san (Ma Dong-seok) terpaksa bertindak apabila seorang remaja yang rapat dengannya diculik oleh seorang doktor gila yang menjalankan eksperimen terhadap manusia.
Kalau anda masuk ke Badland Hunters dengan harapan untuk mendapatkan cerita pasca-apokalips yang kompleks, mungkin anda akan sedikit kecewa. Tetapi jika objektif anda adalah mahu melihat Ma Dong-seok menghentam penjahat seorang demi seorang, filem ini memang memenuhi tugasnya.
Kenapa perlu tonton?
Aksi yang ganas, Ma Dong-seok dan dunia pasca-apokalips yang cukup menarik. Jangan terlalu fikirkan logik ceritanya – duduk, tekan play dan nikmati aksi.
4. Tune In For Love

Genre: Drama, Romantik
Pelakon: Kim Go-eun, Jung Hae-in, Park Hae-joon, Kim Guk-hee
Selepas beberapa filem yang penuh pembunuhan dan aksi ganas, Tune In For Love hadir dengan sesuatu yang jauh lebih lembut.
Berlatarbelakangkan Korea Selatan pada 1990-an, filem ini mengisahkan Mi-soo (Kim Go-eun) dan Hyun-woo (Jung Hae-in), dua insan yang bertemu secara tidak sengaja dan mula membina hubungan.
Namun, mereka sering dipisahkan oleh keadaan, masa dan masalah kehidupan masing-masing. Mereka terus bertemu semula selama bertahun-tahun, seolah-olah takdir memberi peluang kedua – tetapi pada masa yang tidak pernah benar-benar tepat.
Kekuatan utama filem ini terletak pada chemistry Kim Go-eun dan Jung Hae-in. Kisahnya mungkin tidak menawarkan sesuatu yang benar-benar baharu dalam genre romantik, tetapi persembahan kedua-duanya membuatkan hubungan tersebut terasa cukup tulus.
Kenapa perlu tonton?
Kalau anda mahukan filem romantik yang nostalgia, tenang dan sedikit menyakitkan hati, ini pilihan yang sesuai. Filem ini juga mempunyai suasana 1990-an yang cukup menyenangkan.
3. Ballerina

Genre: Aksi, Thriller, Neo-noir
Pelakon: Jeon Jong-seo, Kim Ji-hoon, Park Yu-rim
Kalau anda mahukan sesuatu yang lebih ganas, Ballerina adalah antara pilihan terbaik dalam senarai ini.
Filem ini mengikuti Ok-ju (Jeon Jong-seo), bekas pengawal peribadi yang gagal melindungi sahabat baiknya. Selepas kematian sahabatnya, Ok-ju bertekad untuk menunaikan permintaan terakhir wanita tersebut – membalas dendam terhadap individu yang bertanggungjawab.
Apa yang menarik tentang Ballerina ialah cara filem ini menggabungkan estetika yang cantik dengan keganasan yang cukup brutal. Jeon Jong-seo pula membawa watak utama dengan tenaga yang meyakinkan, menjadikan Ok-ju bukan sekadar watak pembalas dendam biasa.
Filem ini mungkin tidak mempunyai skrip yang paling kompleks, tetapi ia tahu apa yang ingin diberikan kepada penonton: aksi, gaya visual dan dendam.
Kenapa perlu tonton?
Aksi ganas, visual bergaya dan Jeon Jong-seo yang sangat sesuai sebagai watak utama. Kalau anda peminat filem seperti John Wick, The Villainess atau filem aksi Korea yang brutal, jangan lepaskan filem ini.
2. The Sixth Finger

Genre: Seram, Misteri, Thriller,
Pelakon: Lee Jung-jae, Park Jeong-min, Lee Jae-in, Jung Jin-young
Dikenali juga sebagai Svaha: The Sixth Finger, filem ini merupakan pilihan untuk mereka yang mahukan sesuatu yang lebih pelik, misteri dan memerlukan sedikit kesabaran.
Kisahnya mengikuti Pastor Park (Lee Jung-jae), seorang lelaki yang menjalankan siasatan terhadap kumpulan agama yang mencurigakan. Ketika menyiasat kultus Deer Mount, dia mula menemui kaitan antara kepercayaan agama, kes pembunuhan dan sesuatu yang jauh lebih gelap.
Filem ini tidak bergantung sepenuhnya kepada jumpscare. Sebaliknya, ia membina ketegangan melalui misteri, simbolisme, kepercayaan agama dan persoalan mengenai sifat baik serta jahat.
Lee Jung-jae menjadi antara sebab utama filem ini berfungsi dengan baik, manakala Park Jeong-min dan Lee Jae-in turut memberikan persembahan yang kuat.
Kenapa perlu tonton?
Kalau anda suka The Wailing, filem seram misteri yang perlahan tetapi penuh teka-teki atau cerita mengenai kultus dan kepercayaan pelik, filem ini sangat berbaloi dicuba.
1. Night In Paradise

Genre: Drama, Jenayah, Thriller
Pelakon: Uhm Tae-goo, Jeon Yeo-been, Cha Seung-won, Lee Ki-young
Filem arahan Park Hoon-jung ini mengikuti Tae-gu (Uhm Tae-goo), seorang gangster yang melarikan diri ke Pulau Jeju selepas satu tragedi berdarah. Di sana, dia bertemu Jae-yeon (Jeon Yeo-been), seorang wanita yang turut mempunyai sejarah hidup yang penuh kesakitan.
Pada permukaan, ia kelihatan seperti sebuah filem gangster dan balas dendam. Tetapi Night in Paradise sebenarnya jauh lebih melankolik daripada yang dijangkakan.
Park Hoon-jung mengambil pendekatan yang agak perlahan untuk membina hubungan antara watak-wataknya, sebelum melepaskan keganasan yang cukup brutal. Kontras antara keindahan Pulau Jeju dengan dunia gangster yang penuh darah juga menjadi salah satu kekuatan visual filem ini.
Walaupun beberapa pengkritik merasakan durasinya yang lebih dua jam agak panjang, persembahan pelakon utama, atmosfera gelap serta gabungan drama dan aksi menjadikan filem ini lebih berkesan daripada sekadar filem gangster biasa.
Kenapa perlu tonton?
Ia mempunyai semuanya – aksi ganas, drama, watak yang tragik, sinematografi cantik dan suasana yang sangat muram. Kalau anda hanya sempat menonton satu filem daripada enam pilihan ini hujung minggu nanti, Night in Paradise mungkin menjadi pilihan yang paling ideal.
Jadi, Mana Satu Pilihan Anda?
Enam filem ini menampilkan sisi berbeza sinema Korea di Netflix, daripada thriller moden Unlocked dan aksi pasca-apokalips Badland Hunters, hinggalah kisah romantik penuh nostalgia menerusi Tune In For Love.
Bagi peminat aksi yang lebih bergaya dan brutal, Ballerina boleh menjadi pilihan, manakala The Sixth Finger pula sesuai untuk mereka yang gemarkan misteri dan elemen seram yang penuh teka-teki. Sementara itu, Night in Paradise menawarkan gabungan drama, jenayah dan aksi dalam suasana yang lebih gelap dan melankolik.
Dengan kepelbagaian genre dan gaya penceritaan yang ditawarkan, keenam-enam filem ini sememangnya sesuai untuk dijadikan pilihan tontonan ketika mengisi masa lapang pada hujung minggu. Anda bole tonton kesemua filem ini di Netflix!
