
Peminat dunia Archie bakal disajikan dengan sebuah adaptasi baharu apabila Disney+ secara rasmi mengesahkan pembangunan siri live-action Afterlife with Archie.
Francais Archie Comics sememangnya kekal popular selama lebih lapan dekad, manakala siri Riverdale terbitan The CW sebelum ini berjaya memperkenalkan Archie, Betty, Veronica, Jughead dan rakan-rakan mereka kepada generasi baharu.
Filem dan siri baharu Archie sedang dibangunkan
Sebelum ini, laporan mendedahkan bahawa Universal Pictures turut sedang membangunkan sebuah filem Archie dengan penerbit Spider-Man: Into the Spider-Verse, Phil Lord dan Christopher Miller. Skrip filem tersebut pula akan ditulis oleh penulis komik terkenal, Tom King (Supergirl: Woman of Tomorrow).
Lord dan Miller berkata mereka merupakan peminat lama dunia Archie dan percaya idea yang dibawakan Tom King mampu menghasilkan sebuah filem berskala besar yang sesuai dinikmati peminat lama mahupun generasi baharu.
Kisah seram Archie menentang zombi
Menurut Variety, siri Afterlife with Archie akan diadaptasi daripada siri komik karya Roberto Aguirre-Sacasa dan Francesco Francavilla.
Sinopsis rasmi mendedahkan bahawa satu mantera ghaib daripada seorang remaja ahli sihir telah tersilap digunakan, sekali gus melepaskan gerombolan mayat hidup ke bandar Riverdale. Archie bersama rakan-rakannya kemudian terpaksa berjuang untuk terus hidup, sambil menguji persahabatan, percintaan dan kesetiaan yang selama ini menyatukan mereka.
Siri ini akan diterbitkan oleh Greg Berlanti, Sarah Schechter dan Leigh London Redman dari Berlanti Productions, bersama Jon Goldwater dari Archie Comics Studios serta Jimmy Gibbons dari Muckle Man.
Disney janjikan gabungan seram dan emosi
Presiden Disney Kids & Family, Ayo Davis berkata Afterlife with Archie bukan sekadar sebuah kisah zombi, sebaliknya turut memfokuskan kepada nilai persahabatan, kesetiaan dan kemanusiaan yang menjadikan Riverdale sebuah tempat yang berbaloi untuk dipertahankan.
Beliau turut menyifatkan siri tersebut sebagai gabungan elemen seram yang mendebarkan dan emosi yang menyentuh hati, sambil yakin peminat akan menyukai versi baharu Archie dan rakan-rakannya.
Greg Berlanti dan Sarah Schechter pula meluahkan rasa teruja kerana dapat kembali ke dunia Riverdale bersama Roberto Aguirre-Sacasa.
Mereka turut berterima kasih kepada Disney+, Warner Bros. Television dan Archie Comics kerana memberi peluang untuk menghidupkan semula watak-watak ikonik tersebut menerusi pendekatan yang lebih unik dan mendebarkan.
