Netflix telah berkongsi treler pertama untuk LEGO One Piece, sebuah siri khas dua bahagian yang menghidupkan semula pengembaraan Monkey D. Luffy dan kru Topi Jerami dalam dunia LEGO.
Istimewanya, kesemua pelakon siri live-action One Piece di Netflix akan kembali meminjamkan suara kepada watak masing-masing. Siri khas ini turut mengadaptasi semula peristiwa dalam Musim 1 dan Musim 2 dengan sentuhan humor serta visual berkonsepkan LEGO.
Antara pelakon yang kembali ialah Iñaki Godoy sebagai Luffy, Emily Rudd (Nami), Mackenyu (Zoro), Taz Skylar (Sanji), Jacob Romero (Usopp) yang juga bertindak sebagai pencerita, serta Mikaela Hoover sebagai Tony Tony Chopper.

LEGO One Piece diterajui oleh Tom Hyndman yang berperanan sebagai showrunner, penulis dan penerbit eksekutif.
Menurut Hyndman, siri khas ini dihasilkan bagi memudahkan penonton baharu mengenali dunia luas One Piece, sambil menawarkan pengalaman yang segar dan menghiburkan buat peminat setia francais tersebut.
LEGO One Piece dijadualkan menemui penonton di Netflix pada 29 September.
Dalam perkembangan lain, Netflix turut sedang membangunkan One Piece Musim 3, selain The One Piece, iaitu adaptasi anime baharu berdasarkan manga karya Eiichiro Oda.
