Kakimuvee
Berita

Leonardo DiCaprio Langgar ‘Ikrar’, Bakal Bintangi Sekuel Heat 2

Leonardo DiCaprio Pecah Tradisi Kerjaya Menerusi Heat 2

Selepas bertahun-tahun dalam fasa pembangunan, filem Heat 2 akhirnya semakin menghampiri realiti dengan beberapa nama besar Hollywood dilaporkan bakal menerajui barisan pelakonnya.

Menurut laporan The Wrap, Leonardo DiCaprio dan Christian Bale sedang dalam peringkat akhir rundingan untuk membintangi sekuel kepada filem klasik Heat (1995) arahan Michael Mann.

DiCaprio dijangka memegang watak Chris Shiherlis, karakter yang pernah dilakonkan oleh mendiang Val Kilmer dalam filem asal. Sementara itu, Bale akan mengambil alih watak detektif LAPD, Vincent Hanna, yang sebelum ini menjadi antara persembahan ikonik Al Pacino.

Selain itu, Stephen Graham dilaporkan sedang berbincang untuk membawa watak Neil McCauley, yang asalnya dimainkan oleh Robert De Niro, manakala Adam Driver turut dikatakan menjadi pilihan untuk melakonkan watak antagonis utama.

Heat 2 akan diarahkan sendiri oleh Michael Mann dan diadaptasi daripada novel berjudul sama yang diterbitkan pada tahun 2022, hasil penulisan bersama Mann dan Meg Gardiner.

Kisahnya menggabungkan elemen prekuel dan sekuel, dengan memberi tumpuan kepada perjalanan hidup Chris Shiherlis ketika bekerja dengan sebuah keluarga jenayah yang berpengaruh. Filem ini akan diedarkan oleh Amazon MGM Studios.

Apa yang paling mencuri perhatian bukan sekadar barisan pelakon, tetapi keputusan DiCaprio untuk menyertai projek ini kerana ia dilihat bertentangan dengan prinsip yang dipegangnya sepanjang lebih dua dekad bergelar bintang Hollywood.

Sejak kejayaan Titanic melonjakkan namanya ke peringkat antarabangsa, DiCaprio terkenal dengan pendekatan yang cukup selektif dalam memilih projek. Antara prinsip yang sering dikaitkan dengannya ialah mengelakkan sekuel dan francais, sebaliknya lebih gemar bekerjasama dengan pengarah berprofil tinggi dalam filem-filem berprestij.

Walaupun pernah muncul dalam Critters 3 pada awal kerjayanya, DiCaprio hampir tidak pernah kembali menyertai mana-mana francais selepas itu. Sepanjang kariernya, beliau dilaporkan menolak pelbagai tawaran besar termasuk watak dalam Spider-Man, Batman Forever, Star Wars: Episode I – The Phantom Menace dan The Matrix.

Malah, DiCaprio juga dikatakan menolak kemunculan khas sebagai Rick Dalton dalam filem The Adventures of Cliff Booth, sekali gus mengekalkan rekodnya yang jarang kembali memainkan watak yang pernah dibawanya sebelum ini.

Disebabkan itu, penyertaannya dalam Heat 2 dianggap sebagai satu perubahan besar dalam corak pemilihan projeknya. Selain menjadi sekuel kepada filem ikonik, Heat 2 juga merupakan filem aksi jenayah berskala besar, sesuatu yang sudah lama tidak dilakukan DiCaprio.

Kali terakhir beliau membintangi filem aksi thriller sepenuhnya adalah menerusi Body of Lies pada tahun 2008.

Walaupun projek ini masih berdepan pelbagai cabaran termasuk isu bajet yang sebelum ini menyebabkan Warner Bros. menarik diri daripada pembikinannya, Heat 2 kini dilihat kembali berada di landasan yang betul.

Sekiranya filem ini berjaya di pawagam, Heat 2 bukan sahaja berpotensi menghidupkan semula salah satu filem jenayah paling berpengaruh sepanjang zaman, malah boleh menjadi titik perubahan baharu dalam perjalanan kerjaya Leonardo DiCaprio.

Related posts

Kutipan Obsession Cecah Ratusan Juta, Berapakah Gaji Yang Diterima Inde Navarrette?

Karim Khan

Skydance Dilaporkan Menangguhkan Projek The Lord of the Rings: The Shadow of the Past

Karim Khan

David Fincher Dedah Tajuk Baharu Sekuel Once Upon a Time in Hollywood

Karim Khan

Live-Action Moana Dibuka Perlahan, Toy Story 5 Lepasi AS$400 Juta Di Box Office Global

Karim Khan

DC Bangunkan ‘Absolute Batman’, Joker Dan Krypto Turut Terima Siri Baharu

Karim Khan

Punca Kematian Hayden Panettiere Didedahkan, Disahkan Sebagai Kemalangan

Karim Khan

Leave a Comment