
Spider-Man: Brand New Day kini sudah ditayangkan di pawagam, termasuk Malaysia dan beberapa pasaran Asia. Namun, bagi peminat yang memilih untuk menunggu versi penstriman, persoalan utama ialah: bilakah filem terbaharu Tom Holland ini akan tersedia di Netflix?
Buat masa ini, Sony Pictures masih belum mengumumkan tarikh rasmi penstriman Spider-Man: Brand New Day. Bagaimanapun, berdasarkan perjanjian pengedaran Sony dengan Netflix serta corak keluaran filem Sony sebelum ini, kita boleh membuat anggaran bila filem tersebut mungkin tiba di platform berkenaan.
Untuk Amerika Syarikat, Netflix mempunyai hak Pay-1 bagi filem Sony Pictures sejak 2022. Secara kebiasaannya, filem Sony akan memasuki Netflix kira-kira 120 hari selepas tayangan pawagam, selepas tamat tempoh tayangan eksklusif dan PVOD.
Jika Spider-Man: Brand New Day mengikuti tempoh 120 hari tersebut, filem ini berpotensi tiba di Netflix AS sekitar 28 November 2026.
Namun, terdapat kemungkinan Sony melanjutkan tempoh tayangan pawagam dan PVOD untuk filem blockbuster seperti Spider-Man: Brand New Day bagi memaksimumkan kutipan daripada pasaran digital.
Sebagai perbandingan, Spider-Man: Across the Spider-Verse mengambil masa sekitar 151 hari sebelum tiba di Netflix. Jika perkara sama berlaku kepada Brand New Day, filem tersebut mungkin hanya muncul di Netflix pada penghujung Disember 2026 hingga awal 2027.
Bagaimana Pula Dengan Netflix Malaysia?
Bagi peminat di Malaysia, situasinya sedikit berbeza kerana hak penstriman Sony dibahagikan mengikut rantau.
Menurut laporan tersebut, Malaysia, Singapura, India dan Filipina antara pasaran Asia yang secara umumnya berkongsi tetingkap penstriman awal yang hampir sama dengan Amerika Syarikat.
Ini bermakna Spider-Man: Brand New Day dijangka tiba di Netflix Malaysia sekitar tempoh yang sama, iaitu akhir November 2026 hingga awal 2027.
Bagaimanapun, tarikh tersebut hanyalah jangkaan berdasarkan struktur perjanjian Sony – Netflix dan bukannya pengumuman rasmi daripada Netflix Malaysia atau Sony Pictures.
Malah, prestasi box office filem juga boleh mempengaruhi tempoh tayangan digital. Jika Spider-Man: Brand New Day terus mencatat kutipan besar di pawagam, Sony berkemungkinan menangguhkan pelepasan digital dan Netflix bagi memanfaatkan momentum tersebut.

Mengapa Sesetengah Negara Perlu Tunggu Lebih Lama?
Tidak semua peminat Spider-Man di seluruh dunia akan menerima filem ini pada tempoh yang sama di Netflix.
Di United Kingdom dan Kanada, Sony mempunyai perjanjian penstriman lain yang menyebabkan Netflix hanya memperoleh filem tersebut pada tetingkap Pay-2. Dalam keadaan seperti ini, peminat mungkin perlu menunggu sehingga sekitar dua tahun selepas tayangan pawagam.
Situasi yang sama turut berlaku di beberapa negara Eropah dan Australia yang mempunyai perjanjian penstriman tempatan dengan platform seperti Binge dan Foxtel.
Menurut laporan tersebut, Netflix mungkin hanya mendapat Spider-Man: Brand New Day di sesetengah pasaran ini sekitar 18 hingga 24 bulan selepas tayangan pawagam.
Spider-Man: Brand New Day Antara Filem Terakhir Dengan Sistem Ini
Menariknya, Spider-Man: Brand New Day mungkin menjadi antara filem terakhir Sony yang terkesan dengan sistem pengedaran antarabangsa yang berpecah-pecah ini.
Sony dan Netflix telah mencapai perjanjian global baharu yang akan membawa filem Sony ke Netflix di pelbagai rantau pada tetingkap pertama bermula dengan filem yang ditayangkan di pawagam pada 2027 dan seterusnya.
Oleh itu, filem Sony yang dilancarkan pada 2026 seperti Spider-Man: Brand New Day masih tertakluk kepada perjanjian lama mengikut negara dan rantau masing-masing.
Buat masa ini, peminat Malaysia boleh menjangkakan Spider-Man: Brand New Day muncul di Netflix sekitar akhir November 2026 hingga awal 2027, tetapi tarikh sebenar masih bergantung kepada keputusan Sony dan Netflix.
Jadi, kalau tidak mahu menunggu beberapa bulan, pilihan paling selamat buat masa ini masih sama – saksikan Spider-Man: Brand New Day di pawagam.
Sumber: What’s On Netflix
