
Minggu depan bakal menyaksikan beberapa filem baharu ditayangkan di pawagam Malaysia, termasuk filem aksi-komedi, seram, thriller, drama keluarga dan fiksyen sains. Berikut ialah tujuh filem yang bakal menemui penonton pada 13 dan 14 Ogos 2026.
7. Crocodile Tears
Tarikh tayangan: 13 Ogos 2026
Genre: Drama, Thriller
Pelakon: Yusuf Mahardika, Marissa Anita, Zulfa Maharani
Selepas berlegar di beberapa festival filem antarabangsa sejak 2024, akhirnya filem Crocodile Tearsmemasuki pasaran komersial.
Filem Indonesia ini mengisahkan Johan, seorang lelaki muda yang tinggal bersama ibunya di sebuah ladang buaya terpencil. Kehidupan mereka mula berubah selepas Johan mengenali dunia luar dan jatuh cinta dengan seorang gadis bernama Arumi. Hubungan tersebut menyebabkan konflik antara Johan dan ibunya semakin meruncing.
6. Yang Lain Boleh Hilang Asal Kau Jangan
Tarikh tayangan: 13 Ogos 2026
Genre: Drama, Keluarga
Pelakon: Lulu Tobing, Ibnu Jamil, Yasmin Napper
Filem Indonesia ini mengisahkan Kesha, seorang pelajar tahun akhir yang mempunyai impian untuk melanjutkan pengajian ke luar negara. Namun, impiannya mula terganggu apabila ibunya mengalami masalah kehilangan ingatan, memaksanya berdepan pilihan antara masa depan sendiri dan menjaga keluarganya.
5. Perumahan Laddaland
Tarikh tayangan: 13 Ogos 2026
Genre: Seram, Thriller, Misteri
Pelakon: Titi Kamal, Andri Mashadi, Anantya Kirana
Bagi peminat filem seram Indonesia, Perumahan Laddaland mungkin antara judul yang menarik perhatian minggu depan.
Mengisahkan Tomy yang baru membeli rumah impiannya untuk memberikan kehidupan lebih baik kepada isteri dan anak-anak. Namun, selepas berpindah ke kawasan perumahan baharu itu, keluarganya mula diganggu pelbagai kejadian aneh termasuk bisikan misteri dan kemunculan entiti menyeramkan.
Andri Mashadi memainkan watak Tomy, manakala Titi Kamal ialah Melisa dan Anantya Kirana memainkan watak Tania. Filem ini diarahkan oleh Awi Suryadi dan akan ditayangkan di Malaysia pada 13 Ogos 2026.
4. Magudam
Tarikh tayangan: 14 Ogos 2026
Genre: Aksi, Thriller
Pelakon: Vishal, Dushara Vijayan, Anjali, Yogi Babu
Diarahkan dan dibintangi Vishal, Magudam merupakan filem Tamil yang mengetengahkan kisah percintaan dan pengkhianatan yang akhirnya membawa kepada konflik serta usaha membalas dendam.
Filem ini menjadi perhatian kerana ia merupakan filem pertama yang diarahkan Vishal selain turut menjadi pelakon utama. Turut membintangi filem ini termasuklah V. Jayaprakash, Thambi Ramaiah, John Vijay dan beberapa pelakon lain.
3. Vishwanath & Sons
Tarikh tayangan: 14 Ogos 2026
Genre: Drama, Keluarga, Romantik
Pelakon: Suriya, Mamitha Baiju, Radhika Sarathkumar, Raveena Tandon
Suriya kembali ke pawagam menerusi Vishwanath & Sons, sebuah filem yang diarahkan oleh Venky Atluri.
Suriya memainkan watak Sanjay Vishwanath, seorang penembak pistol antarabangsa yang telah menghabiskan bertahun-tahun mengejar kejayaan dalam bidangnya. Kehidupannya berubah selepas kemunculan seorang wanita bernama Maddy, yang membawa Sanjay berdepan persoalan mengenai keluarga, kerjaya dan kehidupan peribadinya.
2. The End Of Oak Street
Tarikh tayangan: 13 Ogos 2026
Genre: Fiksyen Sains, Pengembaraan, Survival
Pelakon: Anne Hathaway, Ewan McGregor, Maisy Stella, Christian Convery
Bayangkan sebuah kawasan kejiranan biasa tiba-tiba terputus daripada dunia asalnya dan dihantar ke tempat yang tidak dikenali.
Sebuah kejadian kosmik misteri menyebabkan Oak Street tercabut daripada kawasan suburbia dan dipindahkan ke lokasi yang tidak diketahui. Keluarga Platt kini perlu bersatu untuk terus hidup sambil berdepan persekitaran baharu yang penuh ancaman.
Filem ini diarahkan oleh David Robert Mitchell, pengarah It Follows dan Under the Silver Lake, serta dibintangi Anne Hathaway dan Ewan McGregor sebagai pasangan ibu bapa dalam keluarga Platt.
The End of Oak Streetturut ditayangkan dalam format IMAX 2D di Malaysia.
1. Kung Fu Soccer
Tarikh tayangan: 13 Ogos 2026
Genre: Aksi, Komedi, Sukan
Pelakon: Zhang Xiaofei, Dilraba Dilmurat, Lay Zhang, Carina Lau, Takeru Satoh
Ditulis dan diarahkan oleh Stephen Chow, Kung Fu Soccer mengikuti perjalanan pasukan bola sepak wanita China, Emei, yang menyertai sebuah kejohanan bola sepak besar. Filem ini menggabungkan aksi kung fu dengan sukan bola sepak, menjadikannya antara judul paling menarik untuk ditonton minggu depan.
Dengan nama Stephen Chow di kerusi pengarah serta barisan pelakon yang merangkumi Zhang Xiaofei, Dilraba Dilmurat dan Lay Zhang, filem ini sememangnya menjadi antara tayangan yang paling dinantikan pada minggu tersebut.
