
Netflix sekali lagi mempertaruhkan naskhah Korea berskala besar menerusi siri misteri fantasi terbaharu, The East Palace, yang menggabungkan elemen seram supernatural, misteri istana dan drama sejarah. Siri ini akan mula distrim secara eksklusif di Netflix pada 17 Julai.
Dibarisi barisan pelakon terkenal seperti Nam Joo-hyuk, Roh Yoon-seo dan Cho Seung-woo, The East Palace mengisahkan tiga individu yang terikat dengan satu sumpahan berdarah yang telah menghantui istana diraja selama 30 tahun.
Di tengah-tengah kisah ini ialah Gu-cheon (Nam Joo-hyuk), seorang pemburu roh yang memiliki keupayaan merentas antara dunia manusia dan alam roh misteri dikenali sebagai Realm of Gwi. Atas titah raja (Cho Seung-woo), Gu-cheon dipanggil ke istana untuk menyiasat punca sumpahan maut yang menyelubungi Istana Timur.
Dalam misinya, beliau bergandingan dengan Saeng-gang (Roh Yoon-seo), seorang dayang istana yang mampu mendengar bisikan roh. Di bawah arahan sulit raja, mereka berdua mengembara antara dunia kehidupan dan alam roh bagi membongkar rahsia gelap yang tersembunyi dalam sejarah keluarga diraja.
Siri ini diarahkan oleh Choi Jung-kyu, yang sebelum ini mengarahkan drama The Devil Judge dan Children of Nobody. Manakala skrip pula ditulis oleh Kwon So-ra dan Seo Jae-won, pasangan penulis di sebalik drama Bulgasal: Immortal Souls dan The Guest. Gabungan kreatif ini menjanjikan sebuah dunia supernatural berskala besar dengan misteri istana yang penuh teka-teki.
Treler utama yang baru dilancarkan memperlihatkan suasana istana yang indah tetapi diselubungi aura menyeramkan. Kedamaian istana mula tergugat apabila satu suara roh membisikkan ancaman kepada raja bahawa seluruh keturunan diraja akan dihapuskan. Menyedari tragedi yang berlaku tiga dekad lalu kembali berulang, raja segera memanggil Gu-cheon untuk menyiasat kejadian tersebut, sambil mengarahkan Saeng-gang memantau setiap pergerakannya.

Sepanjang penyiasatan, Gu-cheon dan Saeng-gang berulang-alik antara dunia nyata dan Realm of Gwi. Setiap pertembungan dengan makhluk halus membawa mereka semakin hampir kepada rahsia, dendam serta kebenaran mengerikan yang telah lama disembunyikan oleh keluarga diraja, sekali gus mencetuskan huru-hara yang sukar dibendung di dalam istana.
Poster utama siri ini turut memberikan gambaran hubungan erat antara dua watak utama tersebut. Gu-cheon dilihat berdiri di tengah kolam yang diselubungi aura merah Realm of Gwi dengan tubuhnya diikat menggunakan tali kasar, manakala Saeng-gang menarik tali tersebut sekuat hati. Visual itu melambangkan kerjasama mereka dalam membongkar rahsia istana dan menentang roh-roh yang mengintai di sempadan antara dua dunia.
Pengarah Choi Jung-kyu turut meluahkan keyakinannya terhadap Nam Joo-hyuk sebagai peneraju siri ini.
“Sejak pertama kali melihat Nam Joo-hyuk, saya yakin dialah individu yang mampu melangkah ke Realm of Gwi dan berdepan takdirnya. The East Palace ialah kisah yang memerlukan beliau memikul keseluruhan naratif, dan saya melihat semangat serta tanggungjawabnya terhadap lakonan begitu besar,” katanya.
Mengulas mengenai Roh Yoon-seo pula, Choi menyifatkan pelakon muda itu mempunyai daya tarikan semula jadi yang sangat sesuai dengan watak Saeng-gang.
“Sepanjang bekerjasama dengannya, saya sedar dia seorang pelakon yang sangat berani. Persembahannya cukup jujur, tulus dan berani sehingga benar-benar menghidupkan watak tersebut.”
Choi turut berkongsi keterujaannya dapat kembali bekerjasama dengan Cho Seung-woo selepas sekian lama.
“Sejak kami pernah bekerjasama dahulu, saya sentiasa berharap dapat bergandingan dengannya sekali lagi. The East Palace akhirnya merealisasikan impian itu. Cara beliau membina setiap perincian watak sebelum kamera mula merakam benar-benar mengagumkan, dan hasil akhirnya diterjemahkan menerusi lakonan yang sangat berkuasa.”
Dengan gabungan elemen misteri, seram supernatural dan drama sejarah, The East Palace berpotensi menjadi antara siri Korea paling dinanti tahun ini apabila ia mula ditayangkan secara eksklusif di Netflix pada 17 Julai.
