
Astro dan Disney+ mengumumkan kerjasama yang dipertingkatkan bagi menawarkan lebih banyak kandungan hiburan kepada penonton Malaysia, sekali gus memudahkan akses kepada filem dan siri antarabangsa serta karya tempatan menerusi satu ekosistem hiburan.
Menerusi kerjasama baharu ini, lebih banyak filem, siri dan kandungan asli Disney+ akan disediakan di platform Astro termasuk Astro TV, Astro GO dan NJOI. Pada masa sama, pilihan kandungan tempatan terbitan Astro turut akan diperkenalkan kepada pelanggan Disney+, sekali gus membawa karya Malaysia kepada khalayak yang lebih luas.
Antara kandungan Disney+ yang bakal dinikmati pelanggan Astro dan NJOI termasuk francais popular daripada Disney, Pixar, Marvel dan Star Wars, selain pelbagai filem blockbuster seperti Pirates of the Caribbean, Kingsman: The Secret Service, The Incredible Hulk, Maleficent, Brave dan Monsters University. Beberapa siri popular seperti Buffy the Vampire Slayer, Scrubs dan New Girl turut menjadi sebahagian daripada penawaran tersebut.
Dalam masa sama, Disney+ juga akan menampilkan lebih banyak kandungan tempatan terbitan Astro merangkumi pelbagai genre seperti aksi, drama, seram, realiti dan program kanak-kanak.
Antara judul yang bakal ditawarkan ialah Zombi Kampung Pisang, Polis Evo, Polis Evo 2, Ola Bola, Khun – Che Khun Che Nisa, Takdir Itu Milik Aku, Syurga Itu Bukan Mudah, Travelawak: Projek Bapak Bapak serta siri animasi popular Didi & Friends.
Ketua Pegawai Kandungan Astro, Agnes Rozario, berkata kerjasama tersebut merupakan sebahagian daripada usaha Astro untuk memenuhi perubahan tabiat tontonan pengguna yang kini lebih gemar menikmati kandungan merentas pelbagai platform.
Menurut beliau, kolaborasi itu bukan sahaja memudahkan pelanggan menikmati kandungan global dan tempatan dalam satu ekosistem, malah membuka peluang kepada karya Malaysia untuk dipersembahkan bersama katalog hiburan antarabangsa di Disney+.
Sementara itu, Naib Presiden dan Pengarah Urusan bagi Singapura, Malaysia, Taiwan dan Hong Kong, The Walt Disney Company, Mark Chan, berkata penceritaan sentiasa menjadi teras jenama Disney dan kerjasama bersama Astro akan membantu memperluaskan capaian kandungan global serta memperkukuhkan koleksi kandungan tempatan di Disney+.
Pelanggan Astro kini boleh melanggan Disney+ sebagai tambahan menerusi aplikasi atau laman web My Astro pada harga bermula RM18.30 sebulan. Bagi pelanggan Movies Pack dan Pek Epic Astro One, akses kepada Disney+ sudah termasuk dalam pakej langganan tanpa caj tambahan.
Selain itu, pelanggan juga boleh menambah Pek Blockbuster pada harga RM9.99 sebulan, yang merangkumi empat saluran baharu iaitu Astro Showtime (CH411), Astro FAM Time (CH412), Rock Action (CH414) dan Rock X Stream (CH415). Astro Showtime dan Astro FAM Time akan menampilkan pilihan kandungan daripada Disney+.
Astro turut memaklumkan bahawa Pek Astro One kini ditawarkan pada harga bermula RM49.99 sebulan, sekali gus memberikan pelanggan akses kepada pelbagai kandungan hiburan dan penstriman dalam satu pakej.
