
Henry Cavill masih terbuka untuk kembali membawakan watak Superman meskipun penglibatannya dalam francais DC sebelum ini berakhir susulan perubahan kepimpinan DC Studios.
Dalam temu bual bersama Inverse baru-baru ini, Cavill ditanya sama ada beliau masih berminat untuk kembali sebagai Superman, termasuk kemungkinan membintangi adaptasi komik Kingdom Come.
Menurut pelakon berusia 43 tahun itu, masih banyak kisah menarik mengenai Superman yang boleh diangkat ke layar perak. Malah, beliau turut mengakui pengalaman membawakan watak tersebut merupakan antara kenangan paling bermakna sepanjang kerjaya lakonannya.
“Terdapat banyak jalan cerita yang hebat dan peluang untuk diterokai. Seperti ungkapan dalam An American Tail, jangan sesekali berkata tidak mungkin. Saya percaya dengan kata-kata itu. Pengalaman membawakan watak Superman sebelum ini sangat bermakna buat saya. Jadi, saya tidak akan menolak kemungkinan untuk kembali,” katanya.
Kenyataan Cavill itu hadir ketika DC Studios sedang melalui perubahan besar susulan pengunduran James Gunn dan Peter Safran daripada jawatan ketua bersama studio berkenaan.
Kedua-duanya dijadualkan menyerahkan kepimpinan DC Studios kepada bekas eksekutif Marvel Studios, Jeremy Latcham, pada 1 Disember ini. Perkembangan tersebut turut mencetuskan pelbagai persoalan mengenai masa depan DC Universe (DCU), termasuk kemungkinan perubahan terhadap perancangan filem-filem akan datang.
Berdasarkan laporan sebelum ini, Latcham dikatakan mahu memberikan tumpuan kepada watak-watak utama DC seperti Superman, Batman dan Wonder Woman, selain mempercepatkan usaha membawa Justice League kembali ke layar perak.
Bagaimanapun, masih terlalu awal untuk menentukan sama ada perubahan kepimpinan ini akan membawa kepada rombakan menyeluruh DCU. Masa depan francais tersebut juga dijangka bergantung kepada prestasi Man of Tomorrow, sekuel Superman arahan James Gunn yang dijadualkan menemui penonton pada Julai 2027.
Cavill mula dikenali sebagai Superman menerusi Man of Steel (2013) arahan Zack Snyder, sebelum kembali dalam Batman v Superman: Dawn of Justice (2016) dan Justice League (2017).
Selepas beberapa tahun tanpa sebarang kepastian mengenai masa depannya dalam francais tersebut, Cavill akhirnya membuat kemunculan mengejut dalam babak pascakredit Black Adam (2022). Penampilan ringkas itu bukan sahaja mengujakan peminat, malah membuka laluan kepada perancangan sebuah lagi filem Superman yang dibintanginya.
Cavill sendiri sempat mengumumkan kepulangannya sebagai Superman. Namun, rancangan tersebut tidak bertahan lama apabila James Gunn dan Peter Safran mengambil alih DC Studios beberapa minggu kemudian.
Di bawah kepimpinan baharu ketika itu, DC Studios memilih untuk memulakan semula kisah Superman dengan pendekatan berbeza, sekali gus menyaksikan David Corenswet mengambil alih watak tersebut.
Walaupun pernah berdepan situasi yang mengecewakan itu, Cavill nampaknya tidak menyimpan sebarang keraguan untuk kembali sekiranya diberikan peluang yang bersesuaian.
Bagaimanapun, kenyataannya tidak boleh dianggap sebagai petunjuk bahawa DC Studios sedang merancang untuk membawanya kembali. Setakat ini, tiada sebarang pengesahan mengenai penglibatan Cavill dalam mana-mana projek DC akan datang.
Sama ada perubahan kepimpinan DC Studios akan membuka semula peluang buat Cavill masih menjadi tanda tanya. Namun, satu perkara yang jelas, pelakon itu sendiri belum bersedia untuk menutup sepenuhnya lembaran kariernya sebagai Superman.
Sumber: IGN Southeast Asia / Inverse
