
Arnold Vosloo mengesahkan penglibatannya dalam The Mummy: Book of the Dead, sekali gus menandakan kepulangan watak Imhotep selepas kali terakhir muncul dalam The Mummy Returns pada 2001.
Pengesahan itu dibuat menerusi podcast Danger Close kendalian Jack Carr, apabila Vosloo mendedahkan bahawa beliau baru sahaja menandatangani kontrak untuk membintangi filem keempat francais berkenaan.
Menurut pelakon berusia 64 tahun itu, penggambaran kini sedang berlangsung di London dengan Brendan Fraser dan beberapa pelakon lain sudah berada di lokasi. Vosloo pula dijadualkan menyertai produksi pada November ini.
Lebih menarik, Vosloo turut berkongsi sedikit maklumat mengenai kemunculan semula Imhotep, termasuk bagaimana watak antagonis ikonik itu akan dibangkitkan selepas lebih dua dekad.
Jelasnya, kebangkitan Imhotep sekali lagi mempunyai kaitan dengan Book of the Dead, kitab purba yang menjadi punca kepada pelbagai kejadian dalam filem pertama pada 1999.
“Seseorang akan membangkitkan saya dengan membaca daripada Book of the Dead. Dari situlah semuanya bermula,” katanya.
Walaupun tidak mendedahkan lebih lanjut mengenai jalan cerita, kenyataan tersebut memberi gambaran bahawa filem baharu ini akan kembali meneroka mitologi yang menjadi asas kepada kejayaan francais asal arahan Stephen Sommers.
Dalam temu bual sama, Vosloo turut menyuarakan keterujaannya terhadap naskhah filem tersebut yang disifatkan mempunyai jalan cerita menarik. Beliau juga membayangkan bahawa penampilan Imhotep akan dikembalikan seperti ketika filem pertama dihasilkan, sewaktu dirinya berusia 38 tahun.
Perkara itu menimbulkan kemungkinan penggunaan teknologi nyahpenuaan digital (de-aging) bagi menghasilkan semula penampilan Imhotep seperti yang diingati penonton. Bagaimanapun, kaedah yang bakal digunakan masih belum diperincikan.
Selain Vosloo, The Mummy: Book of the Dead turut menghimpunkan semula beberapa pelakon yang pernah menjayakan francais berkenaan, termasuk Brendan Fraser, Rachel Weisz, John Hannah, Kevin J. O'Connor dan Oded Fehr.
Pertemuan semula ini pastinya menjadi antara tarikan utama filem tersebut, khususnya buat peminat yang membesar dengan dua filem pertama The Mummy yang ditayangkan pada 1999 dan 2001.
Dalam perkembangan sama, Michael Johnston yang mencuri perhatian menerusi Obsession turut diumumkan sebagai sebahagian daripada barisan pelakon, namun peranan yang bakal dibawakannya masih belum didedahkan.
Bagi filem keempat ini, kerusi pengarah diserahkan kepada Matt Bettinelli-Olpin dan Tyler Gillett, duo yang dikenali sebagai Radio Silence. Kedua-duanya sebelum ini terlibat dalam pembikinan beberapa filem seram popular seperti Ready or Not, Scream (2022) dan Scream VI (2023).
Dengan kepulangan barisan pelakon asal serta penglibatan dua pengarah yang berpengalaman dalam genre seram, The Mummy: Book of the Dead berpotensi mengembalikan gabungan aksi, pengembaraan dan elemen seram yang pernah menjadikan francais ini begitu popular.
The Mummy: Book of the Dead dijadualkan ditayangkan di pawagam pada 15 Oktober 2027.
Sumber: Bloody Disgusting / Danger Close Podcast
