Kakimuvee
Superhero / Live-Action / Comic

The Amazing Spider-Man 2: Shailene Woodley Dedah Sebab Babak Mary Jane Lakonannya Dipotong

Shailene Woodley sebagai Mary Jane

Shailene Woodley sepatutnya muncul sebagai Mary Jane Watson dalam The Amazing Spider-Man 2 (2014), malah beberapa babaknya bersama Andrew Garfield telah pun dirakam. Namun, semua babak tersebut tidak digunakan dalam versi akhir filem.

Dalam temu bual terbaharu (via Comicbookmovie), Woodley berkongsi semula pengalaman singkatnya sebagai Mary Jane dan mengesahkan bahawa Sony pada asalnya merancang untuk meneruskan watak tersebut ke The Amazing Spider-Man 3.

Woodley berkata dia sangat teruja ketika dipilih untuk membawa watak Mary Jane kerana Spider-Man merupakan adiwira kegemarannya, manakala Mary Jane pula ialah watak yang diminatinya sejak kecil.

“Saya dipilih untuk membawakan watak Mary Jane dalam ‘Spider-Man’, yang merupakan impian saya kerana saya sangat menyukai Spider-Man. Spider-Man ialah adiwira kegemaran saya. Mary Jane ialah watak kegemaran saya ketika membesar. Jadi, apabila saya mendapat watak itu, saya sangat teruja.”

Menurut Woodley, dia menjalani penggambaran beberapa babak bersama Garfield. Namun, setahun kemudian, pihak produksi memberitahunya bahawa Mary Jane tidak akan muncul dalam The Amazing Spider-Man 2.

“Kemudian, kira-kira setahun selepas penggambaran, mereka memberitahu saya bahawa babak saya tidak akan dimasukkan dalam filem tersebut. Saya terus tertanya-tanya, ‘Apa? Kenapa pula?’”

Woodley menjelaskan bahawa pihak produksi mahu memberi tumpuan kepada hubungan Peter Parker dan Gwen Stacy, watak yang dilakonkan Emma Stone. Mary Jane sepatutnya diperkenalkan selepas kisah Peter dan Gwen berakhir.

“Mereka berkata, ‘Tunggu sehingga dia meninggal dunia, kemudian kita akan perkenalkan Mary Jane.’ Itu masuk akal. Tetapi mereka tidak pernah menghasilkan filem tersebut.”

Sebelum ini, keputusan untuk membuang babak Mary Jane dikaitkan dengan kekangan masa kerana The Amazing Spider-Man 2 sudah mempunyai banyak watak dan jalan cerita.

Artikel Berkaitan:  Spider-Man: Brand New Day Bakal Jadi Filem MCU Spider-Man Terakhir Di Netflix?

Beberapa foto Woodley bersama Garfield ketika penggambaran filem itu turut tersebar dan menerima pelbagai reaksi daripada peminat. Susulan itu, timbul spekulasi bahawa penerimaan terhadap penampilannya sebagai Mary Jane mungkin mempengaruhi keputusan Sony, walaupun perkara tersebut tidak pernah disahkan.

Woodley berkata, itulah alasan yang diberikan kepadanya ketika babaknya dipotong, walaupun dia sendiri tidak pasti sama ada itu benar-benar alasan mereka.

“Mereka beranggapan tidak sesuai untuk memperkenalkan watak baharu pada ketika itu. Itulah yang diberitahu kepada saya, tetapi mungkin ada sebab lain? Mungkin mereka rasa lakonan saya tidak menjadi dan memutuskan untuk tidak meneruskannya.”

Rancangan The Amazing Spider-Man 3 Turut Dibatalkan

Sony Pictures sebenarnya mempunyai rancangan besar untuk mengembangkan francais Spider-Man sebaik sahaja The Amazing Spider-Man 2 ditayangan. Selain The Amazing Spider-Man 3 dan The Amazing Spider-Man 4, studio tersebut turut merancang filem Sinister Six.

Namun, rancangan itu tidak diteruskan selepas The Amazing Spider-Man 2 gagal mencapai sasaran kutipan AS$1 bilion yang diharapkan Sony.

Pada masa sama, kebocoran e-mel Sony mendedahkan perbincangan antara studio tersebut dengan Marvel Studios mengenai kemungkinan membawa watak Spider-Man ke Marvel Cinematic Universe (MCU).

Tom Holland kemudiannya mengambil alih watak Peter Parker daripada Andrew Garfield dan membuat kemunculan sulung sebagai Spider-Man dalam Captain America: Civil War pada 2016.

Sony dilaporkan turut mempertimbangkan beberapa idea untuk francais Spider-Manantara kemunculan Symbiote Venom, kepulangan Richard Parker, malah turut mempertimbangkan cerita mengenai sejenis formula yang mampu menghidupkan orang yang dah mati, dan menghidupkan semula watak Gwen Stacy dan menjadinnya sebagai Carnage.

Dengan pembatalan The Amazing Spider-Man 3, rancangan untuk memperkenalkan Mary Jane menerusi filem ketiga juga terkubur.

Artikel Berkaitan:  Charlie Cox Akhirnya Bersuara Mengenai Penamatan Daredevil: Born Again, Percaya Wataknya Masih Mempunyai Tempat Dalam MCU
SUBSCRIBE

Berita, review dan suggestion filem & siri tv terus ke e-mel anda

Kami tak spam! baca privacy policy untuk info lanjut.

Related posts

Lady Gaga Dikhabarkan Bakal Bawa Watak Dazzler Dalam Filem X-Men

Karim Khan

Mahershala Ali Respons Kenyataan Kevin Feige Mengenai Kegagalan Blade

Karim Khan

Trailer Akhir Clayface Masih Rahsiakan Rupa Penuhnya

Karim Khan

Avengers: Endgame Encore Ada Durasi Berbeza Mengikut Jenis Pawagam

Karim Khan

X-Men Umum Barisan Pelakon, Adam Driver Sebagai Mr. Sinister

Karim Khan

Gal Gadot Dedah Sebab Tak Kembali Sebagai Wonder Woman

Karim Khan

Leave a Comment