
Filem reboot X-Men dikatakan bakal memulakan penggambaran pada penghujung tahun ini. Namun, khabar angin mengenai filem tersebut sudah mula tersebar diatas talian, dan ianya melibatkan skrip filem tersebut.
Menurut sumber dalaman yang dikenali sebagai MyTimeToShineH, seorang individu yang baru-baru ini berpeluang membaca skrip reboot X-Men dilaporkan memberikan pujian terhadap filem terbaru Marvel Studios itu.
Menariknya, sumber berkenaan dikatakan menggambarkan filem itu sebagai gabungan Thunderbolts*, X-Men: First Class, Batman v Superman: Dawn of Justice dan The Breakfast Club.
Perbandingan tersebut tentunya menarik perhatian kerana setiap filem membawa pendekatan yang berbeza. Elemen Thunderbolts* mungkin merujuk kepada hubungan sekumpulan watak yang pada awalnya sukar bekerjasama sebelum membentuk sebuah pasukan.
Sementara itu, persamaan dengan X-Men: First Class pula mungkin memberi gambaran bahawa filem ini akan menampilkan sekumpulan mutan muda yang sedang mempelajari kuasa masing-masing, selain memperkenalkan konflik asas serta ideologi dalam dunia X-Men.
Perbandingan dengan Batman v Superman pula mencetuskan tanda tanya kerana ia berpotensi menunjukkan bahawa reboot ini bakal membawa pendekatan yang lebih gelap dan mempunyai unsur politik yang lebih ketara.
Dalam masa sama, rujukan kepada The Breakfast Club mungkin menunjukkan bahawa hubungan antara watak-watak muda akan menjadi antara elemen penting dalam cerita, bukan sekadar aksi superhero.
Jika khabar angin ini benar, reboot X-Men mungkin akan lebih menekankan perkembangan karakter dan hubungan antara mutan, di samping aksi superhero yang lebih berbeza dan dijangka menjadi tarikan utama.
Bagaimanapun, semua maklumat ini masih belum disahkan secara rasmi dan wajar dianggap sebagai rumor buat masa ini.
Filem X-Men arahan Jake Schreier, yang sebelum ini mengarahkan Thunderbolts*, akan dibintangi Kit Connor sebagai Scott Summers, Sadie Sink sebagai Jean Grey, Christopher Abbott sebagai Professor Charles Xavier, Inde Navarrette sebagai Rogue dan Maya Boyd sebagai Storm.
Samara Weaving turut dilaporkan membawakan watak Emma Frost, manakala Adam Driver dikatakan memegang watak Nathaniel Milbury, nama samaran kepada Mister Sinister dalam komik.
X-Men dijadualkan menemui penonton di pawagam pada 5 Mei 2028.
