
Pelakon dan penulis Danny McBride kini sedang membangunkan filem baharu G.I. Joe untuk Paramount Pictures, sekali gus menjadi filem pertama francais itu selepas beberapa tahun menyepi.
Menerusi podcast Happy Sad Confused, McBride mendedahkan bahawa beliau merupakan peminat tegar G.I. Joe sejak kecil, malah mengakui lebih meminati francais itu berbanding Star Wars. Pada awalnya, beliau mencadangkan sebuah filem yang memfokuskan kepada kumpulan tentera upahan Dreadnoks, namun Paramount sebaliknya meminta beliau menghasilkan idea untuk reboot penuh G.I. Joe.
McBride kemudian menyiapkan skrip baharu bersama beberapa rakan kolaboratornya dari The Righteous Gemstones, dan menurutnya, Paramount sangat teruja dengan hala tuju yang dibawakan.
Menariknya, reboot ini tidak akan tampil sebagai filem komedi. Sebaliknya, McBride memilih pendekatan yang lebih realistik dengan menggabungkan elemen aksi dan suspens.
Filem tersebut akan mengikuti watak Duke bersama sekumpulan anggota G.I. Joe yang menjalankan misi di Springfield, sebuah bandar dalam komik G.I. Joe yang secara rahsia dikuasai oleh organisasi Cobra. Lokasi itu bakal menjadi latar utama kepada keseluruhan cerita.
Buat masa ini, Paramount masih belum mengumumkan secara rasmi projek tersebut, termasuk barisan pelakon atau tarikh tayangan. Namun, jika menjadi kenyataan, ia akan menjadi filem G.I. Joe pertama sejak Snake Eyes yang ditayangkan pada 2021.
Reboot ini juga dijangka membawa pendekatan berbeza daripada projek crossover Transformers dan G.I. Joe yang pernah diusik pada penghujung filem Transformers: Rise of the Beasts, sekali gus memberi nafas baharu kepada francais aksi popular itu.
