
Trailer The Odyssey, filem epik arahan Christopher Nolan, kini menjadi perhatian selepas dilaporkan menerima jumlah ‘dislike’ yang luar biasa sehingga mencetuskan perdebatan hangat dalam kalangan peminat filem.
Menurut beberapa laporan, trailer tersebut dikatakan memperoleh lebih 338,000 ‘dislike’ berbanding sekitar 55,000 ‘like’, sekali gus menjadikannya antara trailer Hollywood yang menerima reaksi paling negatif sejak trailer filem Snow White terbitan Disney.
Bagaimanapun, angka tersebut bukan data rasmi YouTube kerana platform itu telah membuang paparan jumlah ‘dislike’ kepada umum sejak tahun 2021. Statistik berkenaan diperoleh menerusi sambungan (extension) pelayar web, justeru ketepatannya tidak dapat disahkan secara rasmi.
Kontroversi ini dilihat berbeza berbanding penerimaan positif yang diterima trailer filem-filem Nolan sebelum ini seperti Oppenheimer dan Tenet.
Antara kritikan terbesar yang dibangkitkan ialah pemilihan pelakon, khususnya watak Helen of Troy yang dilakonkan oleh Lupita Nyong’o. Sebahagian penonton mempersoalkan kesesuaian pemilihan tersebut, manakala ada juga yang memperdebatkan tafsiran filem terhadap karya epik Yunani purba hasil nukilan Homer. Malangnya, perdebatan itu turut dicemari komen berbaur perkauman di media sosial.
Selain itu, dialog dalam trailer turut menjadi sasaran kritikan. Satu dialog yang menyebut frasa “pining for a daddy” tular di media sosial selepas ramai berpendapat penggunaan bahasa tersebut terlalu moden untuk sebuah kisah yang berlatarkan mitologi Yunani purba.
Tidak terhenti di situ, segelintir penonton turut mempersoalkan penggunaan loghat Amerika, rekaan kostum, perisai, malah kualiti visual trailer yang dimuat naik di internet, walaupun filem ini dihasilkan dengan penekanan terhadap pengalaman tontonan dalam format IMAX.
Walaupun menerima pelbagai kritikan sebelum tayangan, The Odyssey masih kekal sebagai antara filem Hollywood paling dinantikan pada tahun 2026.
Filem ini dibarisi pelakon terkenal seperti Matt Damon, Tom Holland, Anne Hathaway, Robert Pattinson, Zendaya, Charlize Theron dan Lupita Nyong’o.
Menariknya, The Odyssey juga mencipta sejarah sebagai filem cereka pertama yang dirakam sepenuhnya menggunakan kamera filem IMAX, satu impian kreatif yang telah lama diidamkan oleh Christopher Nolan.
Sama ada reaksi negatif di media sosial benar-benar mencerminkan pandangan majoriti penonton hanya akan terjawab apabila The Odyssey mula ditayangkan di pawagam pada 17 Julai 2026.
Sumber: The Express Tribunal
