
Separuh pertama tahun 2026 menyaksikan industri perfileman tempatan terus menunjukkan perkembangan positif dengan beberapa judul berjaya mencatat kutipan memberangsangkan di pawagam seluruh negara.
Berdasarkan data rasmi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), sebanyak 28 filem tempatan telah ditayangkan di bawah Skim Wajib Tayang sepanjang enam bulan pertama tahun ini dengan jumlah kutipan keseluruhan mencecah RM107.1 juta. Data tersebut dikemas kini secara berkala oleh FINAS berdasarkan prestasi tayangan di pawagam seluruh negara.
Berikut merupakan 10 filem tempatan dengan kutipan box office tertinggi bagi separuh tahun 2026 setakat ini.
10. The Furious (RM2.97 juta)
Melengkapkan senarai 10 filem tempatan dengan kutipan tertinggi bagi separuh tahun 2026 ialah The Furious. Filem drama sukan arahan Heng Aik Song dan terbitan Act 2 Pictures Sdn. Bhd. itu mengutip RM2.97 juta selepas 21 hari tayangan di pawagam.
The Furiousdibintangi Zul Ariffin dan Sky Iskandar mengisahkan dua beradik yang kembali bersatu demi mengembalikan maruah dan melunaskan dendam selepas seorang Youtuber menghina arwah bapa mereka.
9. Gayong 2 (RM3.26 juta)
Di tangga kesembilan ialah Gayong 2 yang berjaya mengumpul RM3.26 juta sepanjang 56 hari tayangan, sekali gus membuktikan francais aksi persilatan tempatan ini masih mempunyai peminat tersendiri.
Bagaimana, jumlah kutipan yang diperolehi filem kedua sedikit menurun berbanding filem pertama yang telah berjaya mengutip RM4.11 juta sepanjang tempoh 35 hari tayangan.
8. Mama, Not Again! (RM4.20 juta)
Filem komedi keluarga Mama, Not Again! berada di kedudukan kelapan dengan kutipan RM4.20 juta selepas 35 hari ditayangkan. Filem ini ditayangkan sempena Perayaan Tahun Baru Cina dan dianggap antara filem tempatan paling berjaya pada musim perayaan tersebut.

7. Kong Tao (RM4.29 juta)
Di tempat ketujuh ialah Kong Tao yang mencatat kutipan RM4.29 juta dalam tempoh 49 hari tayangan di pawagam. Filem hasil kerjasama produksi Thailand, Malaysia dan SIngapura ini diarahkan oleh Peiji Goh dan Yong Choon Lin, dan ia mengisahkan seorang penyiasat media dari Thailand dan seorang bomoh yang berganding bahu menyiasat siri kematian misteri dipercayai berpunca daripada ilmu hitam.
6. I’m Not Gangster (RM7.12 juta)
Satu lagi filem hasil produksi dua negara berbeza. Filem aksi komedi gelap terbitan produksi Malaysia – Singapura, I’m Not Gangster, berjaya menduduki tangga keenam dengan kutipan RM7.12 juta selepas 42 hari tayangan, sekali gus muncul antara filem berprestasi baik pada tahun ini.
5. Ah Beng vs Liang Po Po (RM10.04 juta)
Memecah kelompok lima terbaik ialah Ah Beng vs Liang Po Po. Filem komedi ini merupakan crossover antara dua karakter komedi ikonik, Liang Po Po dan Ah Beng, yang mewakili karakter komedi Singapura dan Malaysia. Filem berjaya meraih RM10.04 juta, sekaligus membuktikan filem tempatan berbahasa Mandarin terus mendapat sambutan penonton.

4. Malaikat Malam (RM12.23 juta)
Siapa sangka, filem permotoran masih lagi mendapat tempat dihati penonton. Dengan syarat ia barisan pelakon yang tepat seperti Syafiq Kyle.
Filem aksi drama permotoran arahan Nazifdin Nasrudin, Malaikat Malam telah mencipta kejutan apabila mengumpul RM12.23 juta sepanjang 63 hari tayangan. Prestasi itu menjadikannya antara filem bahasa melayu tempatan paling berjaya tahun ini.
3. Polong (RM14.08 juta)
Tempat ketiga menjadi milik Polong dengan kutipan RM14.08 juta. Lebih mengagumkan, jumlah itu dicapai dalam tempoh hanya 21 hari tayangan. Berdasarkan maklumat yang diperolehi di atas talian, filem arahan Zulkarnain Azhar ini dihasilkan dengan kos sekitar RM3 juta, dan melihat pada prestasi box office filem tersebut, ia boleh dianggap filem tempatan paling menguntungkan setakat ini.
2. Libang Libu (RM14.16 juta)
Hanya dipisahkan dengan jurang kecil daripada tempat ketiga, Libang Libu berada di kedudukan kedua selepas mengutip RM14.16 juta dalam tempoh 56 hari tayangan. Kejayaan filem arahan Bobby Husaini itu turut disokong oleh barisan pelakon yang mantap, selain mendapat perhatian meluas menerusi beberapa klip yang tular di media sosial, sekali gus meningkatkan minat penonton untuk menyaksikannya di pawagam.

1. Tarung: Unforgiven (RM23.53 juta)
Mengungguli carta separuh tahun 2026 ialah Tarung: Unforgiven. Filem aksi arahan Razaisyam Rashid dan terbitan Alpha47 Films Sdn. Bhd. itu mencatat kutipan RM23.53 juta selepas 42 hari tayangan, sekali gus muncul sebagai filem tempatan dengan kutipan tertinggi setakat ini.

Dengan baki enam bulan lagi sebelum tirai 2026 melabuhkan tirainya, carta ini dijangka terus berubah apabila beberapa filem tempatan berprofil tinggi bakal menemui penonton. Namun buat masa ini, Tarung: Unforgiven kekal selesa di puncak sebagai filem tempatan dengan kutipan tertinggi bagi separuh pertama tahun 2026 menurut rekod rasmi FINAS.
Sumber: FINAS
