Kakimuvee
Review Filem

Review Hope: Terlalu Draggy Walaupun Penuh Aksi

Hope (2026)

“Indah khabar dari rupa” – itulah gambaran yang cukup sesuai untuk filem aksi thriller dari Korea Selatan, Hope.

Sejujurnya, filem terbaru arahan Na Hong-jin ini terasa terlalu bercita-cita tinggi sehingga mengabaikan beberapa aspek penting. Kesannya, filem ini lebih banyak membuka ruang untuk penonton mengkritik cara ia diarahkan berbanding memuji hasilnya secara keseluruhan.

Saya yang berkesempatan menonton filem ini di pawagam IMAX, pada awalnya menjangkakan Hope bakal menawarkan pengalaman sinematik yang mengagumkan, lengkap dengan bunyi yang imersif.

Namun, apa yang saya dapat adalah sebaliknya – saya keluar dari pawagam dengan telinga yang hampir pekak, dan dalam masa sama kurang berpuas hati dengan struktur filem ini. Penceritaannya kerap mengulang perkara yang sama, manakala beberapa babak pula terasa sengaja dipanjangkan sehingga mengganggu momentum dan menjadikan keseluruhan filem terasa draggy.

Dengan durasi filem yang melebihi 2 jam 30 minit, Hope sepatutnya mempunyai ruang untuk menjadi sebuah filem yang lebih lengkap, bukan sahaja dari segi elemen aksi, thriller dan sains fiksyen, malah turut menawarkan jalan cerita yang lebih kukuh dan menyeluruh.

Namun, apa yang saya perasan, filem ini sebenarnya memiliki plot yang minimal dan straightforward, dengan fokus utama kepada watak-wataknya yang berhadapan dengan makhluk misteri. Dengan plot yang begitu ringkas, saya merasakan durasi sepanjang itu menjadi terlalu panjang kerana banyak masa dihabiskan untuk situasi dan babak yang sebenarnya boleh disampaikan dengan lebih ringkas.

Filem Hope

Saya beri contoh paling nyata. Dalam 30 minit pertama, filem ini terus membawa penonton melihat situasi yang berlaku di pekan pelabuhan Hope – ya, nama judul filem ini sebenarnya merujuk kepada nama pekan tersebut. Penduduk di situ berhadapan dengan kejadian misteri apabila beberapa ekor ternakan ditemui mati, seolah-olah telah dibaham oleh makhluk buas.

Selepas itu, ketika dalam perjalanan pulang ke balai polis, watak utama, Ko Bum-seok, terserempak dengan situasi kelam-kabut di pusat pekan apabila berlaku kejadian tembak-menembak dan letupan. Pada ketika ini, sepatutnya misteri tersebut mula dirungkai dengan lebih pantas.

Tetapi apa yang berlaku? Saya terpaksa melihat watak ketua polis ini berlari dari satu lorong ke satu lorong menuju ke tempat kejadian. Babak tersebut mengambil masa yang terlalu lama sebelum akhirnya sampai ke bahagian cerita seterusnya, iaitu apabila dia akhirnya terserempak dengan makhluk yang mencetuskan huru-hara di pekannya itu.

Malah, terdapat satu adegan apabila Bum-seok bersama seorang orang awam cuba menyerbu masuk ke dalam sebuah kedai. Babak mereka berdua bertekak juga terasa sengaja di-drag terlalu lama. Walaupun diselitkan dengan dialog comic relief, bagi saya ia langsung tidak kelakar. Sebaliknya, saya mula berasa menyampah kerana pengarah seolah-olah sengaja memanjangkan pertengkaran mereka sebelum akhirnya menyerbu masuk ke dalam kedai.

Dan formula tersebut terus diulang sepanjang penceritaan. Bukan sahaja dalam situasi manusia berhadapan dengan makhluk ganas, malah babak-babak yang melibatkan perbualan antara watak juga tidak banyak membantu perkembangan cerita, sebaliknya hanya memaparkan pergaduhan mulut yang berpanjangan tanpa sebarang isi.

Satu lagi perkara yang benar-benar mencacatkan filem ini ialah reka bentuk makhluk ganas serta penggunaan CGI yang, bagi saya, sangat mengecewakan. Saya berani katakan, kualiti CGI Hope – sebuah filem yang dilaporkan sebagai antara produksi Korea dengan bajet terbesar dalam sejarah – berada pada tahap yang sukar untuk saya terima, khususnya apabila dibandingkan dengan skala dan cita-cita filem ini. Ya, bagi saya, ia benar-benar teruk dan mengecewakan.

Filem Hope

Lebih mengecewakan, filem ini turut menampilkan dua pelakon Hollywood terkenal, Michael Fassbender dan Alicia Vikander. Agak menyedihkan melihat kedua-dua pelakon tersebut ‘dirender’ melalui CGI dengan hasil yang pada pandangan saya kurang meyakinkan. Kehadiran mereka sepatutnya menjadi salah satu tarikan utama filem ini, tetapi penggunaan CGI terhadap watak mereka pula menjadi antara aspek visual yang paling mengganggu saya sepanjang menonton.

Walaupun mempunyai banyak kelemahan ketara, saya masih mengakui bahawa filem ini berjaya memberikan elemen thriller dan paparan keganasan yang begitu baik. Saya masih dapat merasakan debaran menerusi adegan kejar-mengejar, terutamanya pada awal filem. Adegan-adegan ganasnya juga disampaikan dengan baik, malah terdapat beberapa kematian watak yang dipaparkan dengan cara yang cukup menakutkan.

Tapi itulah masalahnya. Apabila elemen-elemen tersebut sengaja dipanjangkan, debaran yang pada awalnya saya rasakan akhirnya bertukar menjadi rasa menyampah kerana terpaksa menunggu terlalu lama untuk melihat kesudahannya – sama ada mereka berjaya melarikan diri atau sebaliknya.

Dari segi lakonan, saya hanya melihat Jung Ho-yeon dan Zo In-sung sebagai dua pelakon yang paling menyerlah. Mungkin kerana kedua-duanya berjaya menghidupkan karakter masing-masing, iaitu Im Sung-ae, seorang anggota polis, dan Ko Sung-ki, seorang pemuda kampung, dengan cukup baik. Kedua-dua watak ini tampil badass dan berani ketika berhadapan dengan makhluk ganas tersebut, sekali gus menjadikan mereka antara watak yang paling menarik perhatian saya sepanjang filem ini.

Saya tidaklah mengatakan Hope sebuah filem yang teruk. Mungkin ada penonton yang menyukai cara Na Hong-jin mengarahkan filem ini, tetapi bagi saya, Hope terasa unnecessarily draggy. Walaupun menampilkan banyak aksi, beberapa adegan sepatutnya boleh dipendekkan, lebih-lebih lagi dengan plot yang agak minimal.

Adegan aksi yang terlalu panjang dan repetitive ini, bagi saya, telah mengurangkan momentum debaran dan thrill yang sepatutnya dirasai sepanjang filem.

Saya akui, saya tetap menikmati filem ini, tetapi terdapat terlalu banyak aspek yang mengganggu pengalaman saya menontonnya. Bagi saya, Hope bukanlah sebuah filem yang benar-benar bagus walaupun jelas mempunyai cita-cita yang besar.

Saya juga dapat merasakan terdapat ruang untuk filem ini dikembangkan menjadi sebuah francais. Sekiranya filem kedua benar-benar dihasilkan, saya berharap ia dapat memperbaiki kelemahan yang terdapat dalam filem pertama, terutamanya dari segi kualiti VFX.

Oh ya, saya ada beritahu kenapa telinga saya menjadi pekak seketika selepas menonton filem ini di pawagam IMAX? Bukan kerana bunyi tembakan, muzik latar atau aksi ganasnya, tetapi kerana suara watak-watak memaki sesama sendiri yang jauh lebih nyaring daripada bunyi dan muzik latar ketika babak aksi.

RATING: 3/5

SUBSCRIBE

Berita, review dan suggestion filem & siri tv terus ke e-mel anda

Kami tak spam! baca privacy policy untuk info lanjut.

Related posts

Review Spider-Man: Brand New Day – Kisah Peter Parker Melawan Dirinya Sendiri

Karim Khan

Review The Whisper Man: Perlahan, Flat dan Kurang Mendebarkan

Karim Khan

Review Clayface: Mike Flanagan Bawa ‘Real Horror’ Ke Dalam Filem Komik

Karim Khan

Review Filem Moana – Berbaloi Ditonton atau Lebih Baik Skip?

Karim Khan

Review Insidious: Out of the Further – Seram Popcorn Yang Menghiburkan

Karim Khan

Review Bisikan Nafsu: Drama Ala Makjang Yang Absurd Tetapi Menghiburkan

Karim Khan

Leave a Comment