
Nampaknya, roh-roh jahat dalam dunia Insidious semakin berani untuk keluar dari alam mereka dan menimbulkan kekacauan di dunia manusia. Itulah asas cerita dalam filem terbaru Insidious: Out of the Further yang baru ditayangkan di pawagam minggu ini.
Seperti biasa, filem kali ini masih berkisarkan tentang rasukan roh jahat terhadap manusia, tetapi hadir dengan sedikit pembaharuan apabila entiti-entiti dari The Further mula berusaha untuk keluar ke dunia nyata dan mengancam keselamatan manusia.
Kisah kali ini berlatarkan sebuah keluarga yang diketuai oleh ibu tunggal bernama Gemma. Dia mula mengalami beberapa siri kejadian aneh di rumahnya selepas melihat tiga individu misteri berada di hadapan rumah jirannya. Keadaan menjadi semakin buruk apabila dia mendapati bahawa dirinya boleh memasuki sebuah alam ghaib yang dipenuhi roh-roh jahat.
AMARAN SPOILER!!!

Ketika berada di alam tersebut, Gemma turut diserang oleh makhluk-makhluk jahat sebelum diselamatkan oleh roh Elise Rainier. Elise kemudian memberikan satu klu penting kepada Gemma dan memintanya mencari seorang individu yang dipercayai mampu membantunya.
Dari situlah, satu demi satu misteri yang menghantui Gemma mula terungkai selepas dia bertemu dengan individu tersebut…
Jika anda pernah menonton lima filem Insidious sebelum ini, anda pasti perasan bahawa filem-filem tersebut banyak mengulangi konsep yang sama, iaitu gangguan ‘poltergeist’, di mana entiti jahat merasuki tubuh manusia untuk merampasnya daripada pemilik asal sebelum terus berada di dunia nyata.
Namun, filem kali ini cuba melakukan sesuatu yang berbeza. Entiti-entiti dari The Further tidak lagi memerlukan tubuh manusia untuk muncul di dunia nyata. Sebaliknya, mereka boleh menzahirkan diri atau memberi kesan secara langsung tanpa perlu melalui proses rasukan seperti yang biasa kita lihat sebelum ini.
Persoalannya, adakah pembaharuan ini cukup untuk memastikan francais Insidious tidak dilabel sebagai sebuah francais yang hanya mengulang formula lama?
Perubahan konsep cerita ini memberikan ruang penceritaan yang lebih segar dan mampu membangkitkan perasaan ingin tahu penonton, terutamanya apabila plot semakin menuju ke bahagian klimaks.
Pada awalnya, penonton mungkin akan rasa formula penceritaan filem ini tidak jauh berbeza dengan filem-filem terdahulu, di mana watak utama mula mengalami kejadian pelik dan menyeramkan sebelum mengetahui apa yang sebenarnya berlaku selepas bertemu dengan individu-individu tertentu.

Namun, cerita kali ini tampil dengan sedikit perbezaan..
Semakin cerita bergerak ke hadapan, plotnya mula keluar daripada jangkaan awal, terutamanya selepas kita mengetahui kebolehan sebenar Gemma dan kenapa dia menjadi individu yang begitu penting bagi entiti-entiti jahat ini.
Plot revelation yang semakin lari daripada corak biasa ini membuatkan rasa ingin tahu penonton semakin membuak-buak tentang hala tuju cerita filem ini. Kita pasti tertanya-tanya bagaimana Gemma hendak menghentikan ancaman entiti jahat ini…
…Adakah menggunakan acuan yang sama seperti filem-filem terdahulu, atau mempunyai cara lain yang di luar jangkaan?
Selain plot yang di luar jangkaan, satu lagi aspek menarik tentang filem ini ialah bagaimana pengarah menggunakan teknik visual yang berkesan dalam mencipta elemen seram. Ia bukan sekadar membuatkan penonton berasa takut, malah turut memberikan gambaran tentang tekanan psikologi yang dihadapi oleh Gemma.
Adegan di kubu bantal, misalnya, babak tersebut bukan sahaja memperlihatkan bagaimana entiti jahat mengganggu psikologi Gemma, malah ia turut mencetuskan rasa klaustrofobia dalam kalangan penonton apabila melihat kejadian menakutkan berlaku dalam ruang sempit tanpa jalan keluar.
Babak pemeriksaan gigi pula menjadi salah satu contoh visual paling menarik dan juga.. menyeramkan.. dalam filem ini. Adegan tersebut bukan sahaja membuatkan penonton berasa mual, malah turut diselitkan dengan elemen ‘jump scare’ yang benar-benar memberi kejutan.

Ketika kita disajikan dengan elemen seram yang membuatkan bulu roma penonton meremang dan plot yang semakin berkembang, bahagian klimaks filem ini pula terasa sedikit mendatar. Suasana seram mula berkurangan, manakala peralihan cerita menuju ke pengakhiran pula terasa agak tergesa-gesa.
Namun, ‘happy ending’ yang ditunjukkan dalam filem ini seolah-olah memberi isyarat bahawa dunia Insidious masih mempunyai ruang untuk terus berkembang, khususnya menerusi kebolehan baharu yang dimiliki watak-wataknya dalam menangani ancaman makhluk jahat dari dimensi ghaib seperti yang ditunjukkan oleh Gemma.
Walaupun jalan ceritanya sedikit berbeza daripada instalmen terdahulu, Insidious: Out of the Further masih belum berada pada tahap yang sama dengan filem-filem supernatural dan possession ikonik seperti The Exorcist atau The Conjuring.
Bagaimanapun, perubahan konsep dan teknik seram yang digunakan banyak membantu memastikan filem ini tidak terasa seperti sekadar mengulang formula lama.
Apa pun, Insidious: Out of the Further masih merupakan sebuah tontonan yang menghiburkan, terutama untuk penonton kasual yang meminati genre seram dan mahukan pengalaman menonton yang ringkas, mudah diikuti serta mempunyai beberapa kejutan.
Ia mungkin bukan antara filem seram paling ikonik yang pernah dihasilkan, tetapi masih cukup untuk memberikan pengalaman menonton yang memuaskan di pawagam tanpa perlu terlalu memikirkan jalan ceritanya.
