
Prime Video mengumumkan siri Korea terbaharu, Love in Disguise, yang menggabungkan elemen romantik, komedi dan thriller, bakal ditayangkan secara eksklusif mulai 19 Oktober 2026.
Siri ini akan menampilkan gandingan Yim Si Wan dan Seorina dalam kisah mengenai penyamaran, siasatan pembunuhan serta hubungan yang semakin rumit apabila tugasan mula bercampur dengan perasaan.
Love in Disguise diadaptasi daripada web novel popular Why Don’t You Know It’s a Girl?, yang telah mencatat lebih 8.15 juta tontonan di Kakao Webtoon.
Drama ini mengikuti kisah Kang Jae-hee, seorang bekas anggota pasukan khas yang kini berkhidmat sebagai detektif polis. Dia ditugaskan untuk menyiasat dan pada masa sama melindungi Yoon Yi-jun, pewaris generasi ketiga sebuah konglomerat berpengaruh yang menjadi suspek dalam kes pembunuhan.
Namun, apabila siasatan mula menemui jalan buntu dan Jae-hee diarahkan untuk berundur, dia enggan mengalah. Bagi mendapatkan maklumat dengan lebih dekat, Jae-hee menyamar sebagai lelaki sebelum menyertai pasukan keselamatan peribadi Yi-jun.
Penyamarannya membawa kepada situasi yang tidak dijangka apabila Yi-jun mula bergantung kepadanya. Hubungan mereka semakin rapat, namun Yi-jun sendiri keliru dengan perasaan yang mula timbul terhadap pengawal peribadinya yang disangkakan seorang lelaki.
Dalam pada itu, Jae-hee terus menjalankan tugasnya secara senyap sambil mencari kebenaran di sebalik kes pembunuhan tersebut. Apabila identiti sebenarnya akhirnya terbongkar, kedua-duanya terpaksa berdepan dengan persoalan mengenai kepercayaan, pengkhianatan dan perasaan masing-masing.
Yim Si Wan yang dikenali menerusi Squid Game musim kedua dan ketiga, Run On serta Strangers from Hell akan membawa watak Yoon Yi-jun.
Sebagai pewaris keluarga konglomerat, Yi-jun sudah terbiasa hidup di bawah tekanan keluarga dan perhatian umum. Pengalaman tersebut membuatkannya sukar mempercayai orang lain dan lebih selesa bergantung pada dirinya sendiri.
Selepas menjadi suspek dalam kes pembunuhan, Yi-jun mengambil Jae-hee sebagai pengawal peribadinya. Namun, keteguhan dan kesetiaan Jae-hee sedikit demi sedikit mula menggugat tembok yang dibinanya selama ini.
Sementara itu, Seorina yang pernah muncul dalam Oh My Ghost Clients, Twinkling Watermelon dan Business Proposal memainkan watak Kang Jae-hee.
Jae-hee digambarkan sebagai bekas anggota pasukan khas yang kini menjadi detektif polis. Selain mempunyai reputasi sebagai seorang yang cekap dalam menjalankan tugas, penampilannya juga sering menyebabkan wanita menyangka dia seorang lelaki sehingga ada yang berani mengajaknya keluar.
Ketika menyiasat kes pembunuhan yang mempunyai kaitan dengan Yi-jun, Jae-hee diarahkan supaya menghentikan siasatan. Namun, dia memilih untuk meneruskan usaha dengan menyamar sebagai lelaki dan memohon jawatan sebagai pengawal peribadi Yi-jun.
Dihasilkan oleh CJ ENM STUDIOS dan PITAPAT STUDIO, Love in Disguise mengetengahkan gabungan identiti rahsia, siasatan berbahaya dan hubungan romantik yang berkembang dalam keadaan tidak dijangka.
Love in Disguise akan mula ditayangkan pada 19 Oktober 2026 secara eksklusif di Prime Video di Thailand serta lebih 240 negara dan wilayah di seluruh dunia. Episod baharu akan ditayangkan setiap minggu.
Di Malaysia, Prime Video boleh dilanggan pada harga RM25 sebulan.


