
Bayangkan sedang menyelam di laut, tiba-tiba seekor paus sperma gergasi menelan anda hidup-hidup. Itulah situasi mengerikan yang bakal dihadapi Austin Abrams menerusi Whalefall, filem survival thriller baharu daripada 20th Century Studios.
Trailer terbaharu filem ini memperlihatkan Abrams yang memegang watak Jay Gardiner terperangkap di dalam perut seekor paus sperma selepas ditelan ketika sedang menyelam di perairan California.
Whalefall dijadualkan ditayangkan secara eksklusif di pawagam pada 16 Oktober. Anda boleh tonton trailer terbaru Whalefalldibawah:
Kisah filem ini bermula selepas kematian bapa Jay, yang dilakonkan Josh Brolin. Jay kembali ke kawasan pantai tengah California untuk melakukan aktiviti menyelam dalam usaha mencari jasad bapanya.
Namun, pencarian tersebut bertukar menjadi mimpi ngeri apabila dia ditelan seekor paus sperma gergasi.
Dengan bekalan oksigen yang hanya mampu bertahan selama kira-kira sejam, Jay perlu mencari jalan untuk keluar sebelum terlambat. Dalam keadaan terdesak, dia mula menyedari bahawa segala pelajaran dan nasihat yang pernah diberikan bapanya mungkin menjadi kunci untuk menyelamatkan nyawanya.
Whalefall diarahkan Brian Duffield, pengarah No One Will Save You, berdasarkan skrip yang ditulisnya bersama Daniel Kraus. Filem ini pula diadaptasi daripada novel Whalefall karya Kraus yang diterbitkan pada 2023.
Selain Austin Abrams dan Josh Brolin, filem ini turut menampilkan Elisabeth Shue (The Boys), Jane Levy (Evil Dead), John Ortiz (Kong: Skull Island) dan Emily Rudd (Fear Street Part Two: 1978).
Novel Whalefall sebelum ini turut mendapat perhatian dalam dunia kesusasteraan seram. Meagan Navarro menyenaraikannya antara buku seram terbaik 2023, selain memuji bagaimana novel tersebut menggabungkan elemen survival horror dengan kisah mengenai kehilangan dan proses menghadapi kesedihan.
Bagi peminat Austin Abrams, pelakon itu juga bakal muncul dalam filem Resident Evil arahan Zach Cregger yang akan ditayangkan di pawagam pada September ini.
