
Disney+ bakal menambah beberapa judul baharu sepanjang Oktober ini, merangkumi drama Korea, siri Marvel, misteri hinggalah drama kostum dari China.
Antara yang mencuri perhatian sudah tentunya VisionQuest, yang menyaksikan Paul Bettany kembali sebagai White Vision selepas kemunculan terakhirnya dalam WandaVision. Peminat drama Asia pula boleh menantikan Between Steps lakonan Choo Young Woo dan Kim So Hyun serta Merry Berry Love yang menggandingkan Ji Chang Wook dan Mio Imada.
Berikut adalah lima siri yang boleh anda nantikan di Disney+ sepanjang Oktober ini.
1. Between Steps: Season 1

- Tarikh Tayangan: 6 Oktober
- Pelakon: Choo Young Woo, Kim So Hyun
Between Steps merupakan drama romantik tentang dua individu yang cuba membina semula kehidupan selepas masing-masing melalui titik terendah dalam hidup.
Hubungan mereka perlahan-lahan berkembang ketika kedua-duanya berusaha bangkit daripada kesukaran yang dihadapi, termasuk cabaran fizikal dan masalah dalam kerjaya. Dalam proses tersebut, mereka bukan sahaja belajar menerima kekurangan masing-masing, tetapi turut membantu satu sama lain untuk kembali melangkah ke hadapan.
2. Merry Berry Love

- Tarikh Tayangan: 7 Oktober
- Pelakon: Ji Chang Wook, Mio Imada
Seorang pereka dari Korea yang petah berbicara kehilangan kemasyhuran dan kekayaannya dalam sekelip mata. Satu-satunya harapan yang masih dimilikinya ialah sebidang tanah misteri di sebuah pulau kecil di Jepun.
Masalahnya, tanah tersebut sudah diusahakan oleh seorang wanita muda yang mempunyai personaliti agak unik.
Demi mendapatkan kembali tanah itu, dia bersetuju membantu wanita tersebut mengusahakan tanaman strawberinya. Kerjasama yang pada mulanya penuh dengan masalah kemudian berkembang menjadi sesuatu yang tidak pernah dijangka oleh mereka berdua.
3. VisionQuest: Season 1

- Tarikh Tayangan: 14 Oktober
- Pelakon: Paul Bettany, James Spader
White Vision cuba memulakan kehidupan baharu dengan bersembunyi daripada dunia luar. Namun, usahanya untuk mencari tujuan hidup berubah apabila ganjaran ditawarkan kepada sesiapa yang berjaya memburunya.
Untuk terus hidup, Vision terpaksa berdepan kembali dengan masa lalunya, termasuk serpihan kecerdasan buatan dalam dirinya seperti Ultron. Dalam masa sama, pencariannya turut membawa Vision kembali kepada persoalan mengenai keluarga dan identitinya sendiri.
4. Phony: Season 1

- Tarikh Tayangan: 20 Oktober
- Pelakon: Connie Britton, Sam Nivola, Grace Brennan, Maliq Johnson dan lain-lain
Phony merupakan siri misteri coming-of-age tentang seorang remaja yang tersedar di hospital selepas terlibat dalam kemalangan jalan raya.
Selepas sedar, dia mula mengesyaki sesuatu yang tidak kena dengan ibunya — satu-satunya penjaga dan juga individu yang paling rapat dengannya. Lebih membingungkan, dia mula percaya wanita tersebut bukan lagi ibunya, sebaliknya seorang penyamar yang telah mengambil tempatnya.
5. Tigers Sniff The Rose

- Tarikh Tayangan: Akan diumumkan
- Pelakon: Meng Ziyi, Li Yunrui
Diadaptasi daripada novel popular dengan judul sama di Jinjiang Literature City, Tigers Sniff The Rose mengikuti Puteri Mu Wanyao, seorang puteri yang terkenal dengan sifat dominan dan sukar didekati.
Kehidupannya kemudian bertembung dengan Yan Shang, seorang pegawai istana yang bijak dan merendah diri, tetapi menyembunyikan sisi yang jauh lebih hebat daripada apa yang dilihat orang lain.
Selepas diarahkan berkahwin menerusi titah diraja, kedua-duanya terpaksa mengharungi pelbagai permainan politik dan perebutan kuasa dalam istana. Hubungan yang bermula dengan rasa curiga perlahan-lahan berubah apabila mereka menjadi sekutu paling dipercayai antara satu sama lain, sebelum berkembang menjadi sebuah kisah cinta yang luar biasa.
