Kakimuvee
Review Filem

Review Resident Evil: Horror Zach Cregger Tak Menjadi?

Resident Evil

Francais Resident Evil boleh dikatakan antara adaptasi permainan video paling berjaya dalam sejarah perfileman. Enam filem arahan Paul W.S. Anderson bukan sahaja membentuk satu francais tersendiri di layar lebar, malah berjaya mengumpul lebih AS$1 bilion di seluruh dunia.

Namun, selepas era Anderson berakhir, percubaan Sony Pictures untuk memulakan semula francais ini menerusi Resident Evil: Welcome to Raccoon City pada 2021 tidak mencapai hasil yang diharapkan. Filem arahan Johannes Roberts itu gagal mencapai kejayaan komersial, malah tidak mendapat penerimaan yang baik daripada pengkritik.

Bagaimanapun, Sony Pictures masih belum bersedia untuk meninggalkan francais ini. Kali ini, studio itu mempertaruhkan Resident Evil kepada pengarah Zach Cregger, yang hadir dengan sebuah reboot dan cerita yang serba baharu.

Persoalannya, mampukah Cregger membawa francais ini keluar daripada bayang-bayang filem-filem terdahulu, atau Resident Evil sekali lagi menjadi mangsa sumpahan adaptasi permainan video?

Filem kali ini menjanjikan kisah yang tidak pernah diceritakan dalam mana-mana filem Resident Evil. Lebih menarik, pengarahnya turut menjanjikan sebuah cerita yang lebih dekat dengan bahan asal serta ciri-ciri permainan video. Sebagai seseorang yang pernah bermain permainan video Resident Evil, sudah tentu saya sangat menantikan janji yang diberikan oleh pengarahnya.

30 minit pertama Resident Evil sangat meresahkan. Pendekatan Cregger ternyata berbeza daripada siri filem asal dimana dia membina cerita dengan penuh misteri, tanpa tergesa-gesa mendedahkan apa yang sebenarnya berlaku. Bermula dari perjalanan di hospital sehinggalah ke pinggir Raccoon City, bermacam-macam persoalan bermain di kepala, terutamanya tentang bagaimana kisah Resident Evil ini akan bermula.

Gambar Resident Evil

Rasa tidak sedap hati itu semakin kuat apabila Bryan, penghantar barangan perubatan lakonan Austin Abrams, secara tiba-tiba melanggar seorang wanita. Memandangkan kita sudah mengenali sifat francais ini, mudah untuk menjangkakan bahawa wanita tersebut ialah zombi.

Namun, Cregger mengambil pendekatan yang lebih bernas - dia membiarkan penonton tertanya-tanya terlebih dahulu, malah membuatkan penonton seperti saya mempersoalkan tindakan Bryan pada ketika itu, sebelum melepaskan segala persoalan melalui satu adegan panjang yang benar-benar mengejutkan dan mendebarkan.

Apa yang lebih menarik, pada peringkat awal ini saya sangat teruja apabila Cregger memasukkan banyak easter egg sebagai penghormatan kepada permainan asal. Saya melihat beberapa alat dan barangan yang cukup familiar, termasuk beberapa elemen yang mengingatkan saya kepada apa yang pernah saya lihat dalam permainan video.

Saya sememangnya sangat berpuas hati dengan cara Cregger memperkenalkan filem ini kepada penonton kerana pendekatan tersebut secara tidak langsung meningkatkan lagi rasa ingin tahu, lebih-lebih lagi apabila melihat Bryan terus menuju ke Raccoon City walaupun telah berhadapan dengan situasi yang aneh, menakutkan dan penuh misteri.

Memasuki fasa kedua, Cregger mengubah tempo, elemen dan nada filem ini ke arah yang berbeza. Jika sebelum ini fokusnya lebih kepada kejutan dan pembinaan misteri, fasa kedua pula banyak mengetengahkan elemen body horror yang mengerikan serta tempo yang agak pantas berbanding diawal cerita.

Cregger sememangnya memasukkan mayat-mayat hidup dalam ceritanya, tetapi tumpuan sebenar lebih banyak diberikan kepada makhluk yang mengalami mutasi akibat T-virus, seperti anjing yang mengeluarkan testikel dari mulutnya serta zombi yang bergabung membentuk makhluk gergasi yang sangat menakutkan.

Bagi saya, body horror yang ditampilkan dalam filem ini benar-benar menjadi dan mengerikan. Pada tahap ini, ketakutan saya bukan sahaja datang daripada elemen kejutan semata, malah turut beralih kepada paparan fizikal makhluk yang dijangkiti T-virus dalam bentuk visual yang menakutkan.

Penggunaan kesan praktikal berbanding terlalu bergantung kepada CGI benar-benar membentuk tekstur dan rupa yang lebih nyata, dan yang paling penting, mengerikan. Digabungkan pula dengan cara Cregger mempersembahkan makhluk tersebut melalui adegan kejar-mengejar dan perasaan ingin tahu watak utama filem ini, hasilnya terasa lebih mengganggu dan meyakinkan.

Resident Evil

Walaupun filem ini memberikan elemen seram yang cukup baik, penceritaannya agak biasa kerana banyak menumpukan kepada usaha Bryan untuk terus bertahan hidup. Terdapat beberapa watak dalam filem ini yang berinteraksi dengan Bryan secara ringkas, tetapi tidak banyak yang membantu dalam mengembangkan cerita selain memberikan sedikit gambaran tentang situasi yang sedang berlaku.

Secara keseluruhannya, saya melihat Resident Evil berjaya menyampaikan elemen seram yang cukup baik, terutamanya melalui body horror yang memberikan gambaran mengerikan terhadap makhluk yang dijangkiti T-virus. Penggunaan kesan praktikal dan cara Cregger mempersembahkan makhluk-makhluk tersebut turut menjadikan elemen ini antara kekuatan utama filem.

Beberapa easter egg dan sentuhan ala permainan video yang ditampilkan menjadi salah satu daya penarik, tetapi bagi saya, kekuatan sebenar Resident Evil terletak pada pendekatan Cregger dalam membina elemen horror secara keseluruhannya.

Selain itu, penceritaannya yang mula terasa mendatar sebaik sahaja Bryan memasuki Raccoon City, sedikit sebanyak menganggu momentum filem ini serta mengurangkan keseronokan untuk terus mengikuti ceritanya.

Tiada banyak maklumat baru yang diperolehi, hanya persoalan demi persoalan mula ditinggalkan sehingga ke penghujung cerita. Pendekatan Cregger yang tidak memperincikan kisah filem ini telah membuatkan saya tertanya-tanya, sama ada persoalan tersebut sememangnya disimpan untuk dijawab dalam cerita seterusnya.

Penamatnya pula mengisyaratkan bahawa kisah Resident Evilmasih belum berakhir. Mungkin kita akan berpeluang melihat watak-watak lain pada masa akan datang, termasuklah beberapa karakter yang sudah lama dinantikan peminat. Siapa tahu, bukan?

Apapun, Zach Cregger berjaya memberikan nafas baharu pada francais ini, dan saya sudah semestinya menantikan kisah seterusnya. Mungkin selepas ini, kisah Resident Evil dapat diceritakan dengan lebih mendalam.

RATING: 4/5

SUBSCRIBE

Berita, review dan suggestion filem & siri tv terus ke e-mel anda

Kami tak spam! baca privacy policy untuk info lanjut.

Related posts

Review Travis Barker: Louder Than Fear Bawa Penonton Menyelami Trauma Drummer Blink-182

Karim Khan

Review Mutiny: Jason Statham Dan “Genre Statham” Yang Mengecewakan

Karim Khan

Review The Whisper Man: Perlahan, Flat dan Kurang Mendebarkan

Karim Khan

Review The Last House: Survival Thriller Yang Tidak Cukup Rangup & Terlebih Tepung.

Karim Khan

Review Jangan Buang Ibu: Tidak Sempurna, Tetapi Berjaya Menyentuh Hati

Karim Khan

Review The Debt Collector: Cubaan Thailand Meniru John Wick Yang Tidak Menjadi

Karim Khan

Leave a Comment