Kakimuvee
Review Filem

Review Heart of the Beast: Survival Brad Pitt Bersama Anjing K-9 Yang Penuh Emosi

Banner Heart of the Beast

Satu perkataan yang paling tepat untuk menggambarkan pengalaman saya menonton filem Heart of the Beast adalah… sedih.

Secara jujurnya, saya tidak menyangka bahawa filem terbaru Brad Pitt ini akan memberikan kesan emosi yang begitu kuat, apatah lagi apabila pada awalnya ia kelihatan seperti sebuah filem survival yang cukup sederhana.

Heart of the Beast menemukan semula Brad Pitt dengan pengarah David Ayer, selepas lebih sedekad mereka bekerjasama menerusi filem Fury. Jika kolaborasi mereka sebelum ini membawa penonton mengikuti perjuangan watak lakonan Brad Pitt yang cuba bertahan dalam sebuah kereta kebal bersama rakan-rakannya, kali ini Ayer membawa Pitt ke dalam kisah survival bersama haiwan peliharaannya di tengah-tengah alam liar.

Kisah filem ini sangat straightforward dan anda mungkin sudah boleh menjangkakan pengakhirannya sebaik sahaja filem bermula. Namun, Heart of the Beast bukanlah tentang meneka bagaimana kisah ini akan berakhir, sebaliknya menghayati hubungan antara seekor anjing dan tuannya, serta sejauh mana mereka mampu bertahan apabila berdepan dengan alam yang sangat merbahaya dan sukar dijangka.

Gambar Heart of the Beast

Dalam filem ini, Brad Pitt memainkan watak James Belmont, seorang bekas anggota Pasukan Khas tentera AS yang sudah bersara dan menjalani kehidupan bersama anjing tempurnya, Odin, yang dipeliharanya sejak zaman perkhidmatannya.

Dalam perjalanan pulang dari tapak perkhemahan mereka yang terletak jauh di kawasan pergunungan Alaska, AS, James mengalami serangan jantung sebelum kapal terbang ringan yang dipandunya terhempas di kawasan hutan. Tanpa sebarang bantuan dan dengan bekalan yang terhad, mereka terpaksa menempuh perjalanan yang cukup jauh untuk mencari tempat selamat.

Sepanjang perjalanan, mereka perlu berdepan dengan cuaca ekstrem dan bentuk muka bumi yang mencabar, hidupan liar berbahaya serta trauma perang yang masih menghantui mereka.

Filem ini bukan sekadar memaparkan kisah survival mereka di alam yang sangat berbahaya, malah turut mengetengahkan ikatan antara seorang lelaki dan anjingnya yang telah dijaga sejak sekian lama. Pada awal cerita, kita sudah dapat melihat bahawa kedua-duanya sememangnya memiliki ikatan yang kuat.

Namun, apabila cerita mula berkembang, hubungan tersebut diterjemahkan dengan lebih jelas melalui perjuangan mereka untuk terus bertahan hidup.

Selingan kisah-kisah lampau ketika kedua-duanya masih berkhidmat dalam tentera menguatkan lagi ikatan antara James dan Odin, lebih-lebih lagi apabila mereka berdepan dengan PTSD. Kedua-duanya saling menenangkan dan memberi sokongan apabila salah seorang daripada mereka mengalami mimpi ngeri akibat PTSD, dan dalam masa yang sama saling bergantung ketika menghadapi cabaran yang tidak menentu dalam usaha menuju ke tempat selamat.

Antara perkara menarik tentang filem ini ialah bagaimana Ayer menerapkan elemen survival yang terasa begitu realistik. Sepertimana beliau menterjemahkan realisme perang kereta kebal dalam Fury, pendekatan yang sama turut diterapkan dalam menggambarkan perjuangan James dan Odin untuk terus hidup dalam filem ini.

Gambar Heart of the Beast

Pendekatan tersebut menjadikan Heart of the Beast tidak membosankan walaupun sebahagian besar filem hanya menampilkan seorang manusia bersama seekor anjingnya. Terdapat beberapa adegan mendebarkan sepanjang perjalanan mereka, tetapi ia tidak terasa seperti sekadar filler untuk menyedapkan cerita.

Sebaliknya, setiap cabaran memberikan gambaran tentang betapa sukar dan tidak menentunya keadaan alam yang mereka hadapi.

Terdapat beberapa adegan dalam filem ini yang cukup memorable, antaranya ketika James dan Odin tiba-tiba bertembung dengan seekor beruang grizzly serta saat James terjatuh ke dalam jeram. Adegan ketika James cuba merawat tangannya yang cedera selepas kemalangan tersebut benar-benar membuatkan saya terasa ngilu.

Walaupun sebahagian besar filem ini hanya menampilkan Brad Pitt bersama seekor anjing, kedua-duanya berjaya membina chemistry yang cukup kuat. Interaksi yang begitu rapat antara mereka banyak membantu dalam menggerakkan cerita, malah membuatkan hubungan James dan Odin terasa meyakinkan sepanjang filem.

Malah, Uber, anjing yang memainkan watak Odin, juga tidak kekok beraksi di depan kamera, sekali gus menunjukkan bahawa dia dilatih dengan baik untuk memberikan persembahan yang meyakinkan di dalam filem.

Gandingan David Ayer dan Brad Pitt sekali lagi membuktikan bahawa kedua-duanya mampu menghasilkan sebuah karya yang meninggalkan kesan kepada penonton. Heart of the Beast sebenarnya merupakan filem yang didedikasikan kepada anjing-anjing tempur yang berkhidmat dalam tentera AS.

Sebuah filem yang sangat menyentuh hati. Apabila Ayer memfokuskan visual kepada James dan Odin yang memandang aurora di langit, momen tersebut terasa begitu emosional dan menjadi antara gambaran paling kuat dalam filem ini.

RATING: 4/5

SUBSCRIBE

Berita, review dan suggestion filem & siri tv terus ke e-mel anda

Kami tak spam! baca privacy policy untuk info lanjut.

Related posts

Review 402 Rumah Sakit Angker Korea: Tidak Sehebat Filem Asal, Tetapi Berjaya Memberi Pengalaman Seram

Ammar

Review Insidious: Out of the Further – Seram Popcorn Yang Menghiburkan

Karim Khan

Review Mutiny: Jason Statham Dan “Genre Statham” Yang Mengecewakan

Karim Khan

Review Terbang: Garapan Chiu Keng Guan Menjadikan Terbang Antara Filem Terbaik Tahun Ini

Karim Khan

Review Facing El Chapo: Thriller Kartel Yang Mendebarkan

Karim Khan

Review Onslaught: 3 Askar Super Jadi Longlai Bila Bertemu Adria Arjona

Karim Khan

Leave a Comment