Kakimuvee
Review Filem

Review Terbang: Garapan Chiu Keng Guan Menjadikan Terbang Antara Filem Terbaik Tahun Ini

Secara jujurnya, saya tak suka dengan filem Terbang.

Ramai pengulas filem dan penonton yang sudah menonton Terbang dan mengeluarkan pendapat masing-masing. Rata-ratanya memuji filem ini dan menyukai hasil arahan Chiu Keng Guan.

Tetapi saya tidak. Bukan kerana filem ini teruk, tetapi kerana Terbang telah membuatkan saya merasai sesuatu yang sukar untuk saya jelaskan.

Seperti yang anda semua tahu, filem Terbang merupakan sebuah filem biopik sukan yang diinspirasikan oleh kisah pemandu rali profesional tempatan, Karamjit Singh.

Saya pernah menonton filem biopik arahan Guan, iaitu Ola Bola!, dan jangkaan saya, filem beliau kali ini mungkin mempunyai ‘vibe’ yang sama dengan filem tersebut, iaitu memaparkan jalan cerita fiksyen tetapi masih berpandukan kisah sebenar yang menjadi inspirasi kepada filem ini.

Gambar filem Terbang

Banyak perkara tentang filem ini yang membuatkan saya kagum, khususnya adegan-adegan perlumbaan yang begitu mendebarkan, ditambah pula dengan sinematografi yang cantik. Walaupun sudah ada beberapa filem tempatan yang mengetengahkan perlumbaan kereta dan motosikal, saya merasakan Terbang melangkah lebih jauh dengan menghadirkan aksi perlumbaan yang cukup hebat dan meyakinkan.

Seperti mana Keng Guan memastikan adegan sukan dalam filem Ola Bola kelihatan realistik dan terasa seperti perlawanan bola sepak sebenar, beliau juga memberikan perhatian yang sama terhadap adegan perlumbaan dalam Terbang. Cara perlumbaan itu dirakam dan dipersembahkan membuatkan aksinya terasa begitu dekat dengan pengalaman menonton perlumbaan rali sebenar.

Apa yang lebih mengagumkan, perkara sebegini jarang ditampilkan dalam produksi tempatan dengan tahap realisme seperti ini. Walaupun produksi tempatan tidak mempunyai bajet sebesar filem-filem Hollywood, Keng Guan masih mampu menghasilkan adegan perlumbaan yang memberikan pengalaman yang mengingatkan kita kepada filem-filem aksi perlumbaan Hollywood.

Filem Terbang 2

Walaupun Terbang menghadirkan elemen perlumbaan yang menarik dan kualiti teknikal yang mengagumkan, saya merasakan terdapat sedikit kejanggalan pada beberapa watak dalam filem ini. Bagi saya, hanya Zizan Razak sahaja yang benar-benar menarik perhatian saya.

Zizan masih mengekalkan sisi komedinya, tetapi, lakonannya kali ini terasa begitu natural dan dia mudah menyesuaikan diri dengan suasana setiap babak. Malah, wataknya juga boleh dianggap sebagai ‘anchor’ kerana membantu menstabilkan interaksi antara watak-watak lain.

Sementara, beberapa pelakon lain terasa sedikit kurang ekspresif dan terlalu berhati-hati dalam menterjemahkan watak masing-masing. Saya tidak menganggap lakonan mereka kaku, cuma persembahan tersebut kadangkala terasa kurang natural berbanding apa yang pernah saya lihat daripada mereka sebelum ini.

Di sebalik kelebihan dan kekurangan yang ada pada filem ini, terdapat satu perkara yang menjadikan Terbang begitu kuat dan memberi impak kepada saya sebagai penonton, iaitu penceritaannya. Inilah sebab utama kenapa saya “tidak suka” dengan Terbang.

Penceritaannya terlalu beremosi sehingga beberapa kali membuatkan saya hampir menitiskan air mata. Saya benar-benar tersentuh dengan kisah watak utama dan isterinya, selain turut merasai kuatnya semangat setiakawan dan kerjasama dalam pasukan.

Gambar filem Terbang

Filem ini bukan sekadar menceritakan tentang kejayaan seseorang, tetapi lebih daripada itu. Ia menzahirkan betapa pentingnya sokongan dan pengorbanan orang tersayang dalam mencapai kejayaan, selain memaparkan kekuatan hubungan dalam pasukan yang mampu mengenepikan perbezaan. Yang paling penting, filem ini turut mengetengahkan semangat juang demi mengharumkan nama negara.

Kekuatan pada penceritaan itulah yang membayangi banyak aspek lain dalam filem ini, terutamanya apabila kelemahan yang ada tidak begitu dirasai.

Bagi saya, Terbang merupakan sebuah filem yang sangat baik dan berjaya melangkaui jangkaan. Tidak keterlaluan untuk saya katakan bahawa filem ini sangat bernilai. Ia bukan sekadar filem yang kita tonton sekali sebelum melupakannya, sebaliknya sebuah karya yang mampu melekat dalam memori kita.

Dengan elemen patriotik dan emosi yang kuat, saya meletakkan Terbang antara filem tempatan terbaik yang saya tonton tahun ini.

RATING: 4.5/5

SUBSCRIBE

Berita, review dan suggestion filem & siri tv terus ke e-mel anda

Kami tak spam! baca privacy policy untuk info lanjut.

Related posts

Review Operasi Pesta Copet: Copet Tapi Bikin Hati Hangat

Karim Khan

Review Tikus!: Bermula Baik Tapi Gagal Memberikan Payoff

Karim Khan

Review Resident Evil: Horror Zach Cregger Tak Menjadi?

Karim Khan

Ulasan Filem Crime 101: Pertembungan Karismatik Hemsworth-Ruffalo dalam Atmosfera Noir yang Mendebarkan

Karim Khan

Review 402 Rumah Sakit Angker Korea: Tidak Sehebat Filem Asal, Tetapi Berjaya Memberi Pengalaman Seram

Ammar

Review Chelot: Gandingan 3 Pelakon Hebat Dalam Aksi Mendebarkan

Karim Khan

Leave a Comment