Kakimuvee
Review Filem

Review Facing El Chapo: Thriller Kartel Yang Mendebarkan

Gambar Facing El Chapo

Beberapa bulan lalu, saya terperasan satu perkongsian di media sosial X mengenai sebuah filem Netflix terbitan Mexico yang mengangkat kisah dunia kartel.

Berdasarkan premis ringkas yang saya baca ketika itu, filem ini mengisahkan dua anggota polis yang berjaya menangkap seorang ketua kartel dadah paling dikehendaki.

Lebih menarik, kisah tersebut diinspirasikan daripada peristiwa sebenar, iaitu Operasi Black Swan, satu operasi khas yang dijalankan pasukan keselamatan Mexico untuk menangkap ketua kartel dadah terkenal, El Chapo.

Walaupun kisah El Chapo pernah diangkat Netflix menerusi siri tiga musim berjudul El Chapo, filem kali ini kelihatan lebih menarik kerana ia mengetengahkan perspektif anggota polis yang berjaya memberkas ketua kartel tersebut, sebelum El Chapo dan orang kanannya diserahkan kepada pasukan keselamatan Mexico.

Filem yang saya maksudkan adalah Facing El Chapo, sebuah filem aksi jenayah thriller yang baru sahaja memasuki senarai katalog Netflix beberapa hari yang lepas.

Dibintangi Alfonso Herrera, Noé Hernández dan Héctor Kotsifakis, Facing El Chapo mengisahkan dua anggota polis yang menahan sebuah kenderaan curi di sebuah lebuh raya. Tanpa mereka sedari, pemandu dan penumpang kenderaan tersebut sebenarnya merupakan penjenayah yang paling dikehendaki.

Gambar filem Facing El Chapo

Bermula dari saat itu, mereka berdepan situasi hidup dan mati apabila perlu segera menyerahkan kedua-dua penjenayah tersebut kepada pihak berkuasa, atau berdepan risiko tindakan balas daripada kumpulan kartel.

Filem berdurasi 91 minit ini pada mulanya bergerak sedikit perlahan dengan memaparkan rutin anggota polis bernama Carmona, lakonan Alfonso Herrera, bersama rakan setugas baharunya, Rosales, lakonan Noé Hernández.

Namun, di sebalik rutin tersebut, babak awal mula menyemai rasa curiga apabila Carmona mula mempersoalkan kebolehpercayaan rakan setugas baharunya itu selepas melihat Rosales begitu mesra dengan gangster tempatan.

Babak awal ini seolah-olah memberi isyarat kepada penonton bahawa watak Rosales mungkin tidak boleh dipercayai dan akan mengkhianati Carmona di pertengahan cerita.

Selain itu, masalah kewangan yang dihadapi Carmona turut mencetuskan persoalan dalam fikiran kita – adakah dia sanggup mengkhianati Rosales dan menggadaikan maruahnya sebagai seorang anggota polis?

Ketegangan hubungan antara dua anggota polis ini semakin terserlah selepas mereka berjaya menangkap El Chapo dan orang kanannya, yang kemudiannya tidak henti-henti cuba merasuah mereka.

Dengan masalah peribadi yang sedang dihadapi Carmona serta sikap Rosales yang suka berfoya-foya, pelbagai kemungkinan mula bermain dalam fikiran penonton, lebih-lebih lagi cerita berlatarkan dunia kartel sering kali memaparkan pengkhianatan dan pembelotan yang berpunca daripada wang.

Selain latar belakang mereka yang boleh menimbulkan pelbagai kemungkinan, fokus filem juga tertumpu pada usaha kedua-dua anggota polis ini untuk membawa kedua-dua penjenayah tersebut ke tempat selamat sebelum diserahkan kepada pihak atasan.

gambar Facing El Chapo

Namun, disebabkan kumpulan penjenayah ini telah menyusup masuk ke dalam pasukan keselamatan, mereka terpaksa sentiasa berhati-hati sambil cuba mengelak daripada ditemui oleh kumpulan kartel yang sedang berusaha untuk menyelamatkan ketua mereka.

Bayangkan anda berjaya menangkap ketua kartel, tetapi tiada siapa yang boleh dipercayai dan tiada tempat untuk berlindung.

Anda terpaksa sentiasa berdoa kepada Tuhan agar tidak bertembung dengan kumpulan kartel. Ini kerana, di saat anda telah menangkap ketua mereka, nyawa anda ibarat berada di hujung tanduk. Dilepaskan atau terus menahan, nyawa anda tetap berada di hujung senjata mereka.

Itulah situasi yang dihadapi oleh Carmona dan Rosales, dan perasaan tegang serta takut yang dirasai mereka turut dirasai oleh penonton.

Mood ketegangan ketika mereka membawa penjenayah tersebut turut diiringi dengan runut bunyi yang mendebarkan, malah kedua-duanya sering kali diuji secara psikologi oleh kedua-dua penjenayah tersebut.

Ugutan dan cubaan rasuah meningkatkan lagi adrenalin penonton untuk mengetahui kesudahan cerita ini – adakah mereka akan cekal bertahan sehingga bantuan tiba, atau akhirnya mengkhianati antara satu sama lain demi wang?

Bukan itu sahaja, jaringan kartel yang sentiasa mempunyai pengintip menambahkan lagi perasaan tidak senang duduk dalam kalangan penonton.

Setiap laluan yang dilalui mereka seolah-olah pasti dihidu oleh penjahat dan walaupun mereka berjaya mendapatkan tempat persembunyian, kita pasti dapat menjangka bahawa mereka akan diserang oleh kuncu-kuncu El Chapo.

Di kala filem ini lebih banyak memfokuskan debaran ketika dua anggota polis menahan dan mengawal dua penjenayah yang dikehendaki, hanya terdapat satu atau dua aksi yang boleh dikatakan agak menarik.

Namun, disebabkan filem ini diinspirasikan daripada peristiwa sebenar, kebanyakan ketegangannya hadir tanpa aksi tembak-menembak, kecuali ketika pasukan khas marin Mexico menyerbu tempat persembunyian kartel dadah.

Mungkin inilah cara filem ini mengekalkan keaslian kisah sebenar, tanpa membesar-besarkan aksi atau menyimpang daripada peristiwa yang berlaku.

Dalam masa yang sama, ia mungkin ingin memberi gambaran tentang keupayaan pasukan keselamatan Mexico dalam menundukkan kumpulan-kumpulan penjenayah.

Selain atmosfera dan jalan cerita yang mencengkam, filem ini juga memperlihatkan kehebatan dua pelakon utamanya dalam menghidupkan suasana tegang sepanjang perjalanan cerita.

Bagi yang pernah menonton filem aksi Mexico Counterattack, pasti pernah melihat lakonan Noé Hernández. Dalam filem ini, beliau benar-benar menghidupkan watak yang penuh persoalan sehingga kita akhirnya mula mempercayainya.

Begitu juga dengan watak utama, Alfonso Herrera, yang membawakan seorang anggota polis yang dibayangi kisah lampau. Beliau berjaya membawa watak tersebut sehingga ke penghujung cerita, terutama dalam usahanya memastikan integritinya kekal utuh walaupun berdepan dengan masalah peribadi.

Selepas menahan debaran hampir sejam, kita akhirnya dapat menarik nafas lega sebaik sahaja filem ini menuju ke penghujung. Menariknya, Facing El Chapo membuktikan bahawa sesebuah filem tidak memerlukan aksi tembak-menembak yang besar untuk menghasilkan penamat yang memuaskan.

Adegan twist di penghujung cerita hampir sahaja merentap nafas kita sebelum kita kembali menarik nafas lega. Namun, filem ini belum benar-benar selesai bermain dengan jangkaan kita kerana satu lagi adegan dramatik menanti sebelum cerita akhirnya ditamatkan.

Apa pun, Facing El Chapo adalah sebuah filem yang sangat bagus, bukan kerana aksi atau latar dunia kartelnya, tetapi kerana keupayaannya membuatkan penonton merasai sendiri ketakutan, tekanan dan ketegangan yang dihadapi dua anggota polis ketika menjalankan tugas demi negara mereka.

Rating: 3.5/5

SUBSCRIBE

Berita, review dan suggestion filem & siri tv terus ke e-mel anda

Kami tak spam! baca privacy policy untuk info lanjut.

Related posts

Review Spider-Man: Brand New Day – Kisah Peter Parker Melawan Dirinya Sendiri

Karim Khan

Review Travis Barker: Louder Than Fear Bawa Penonton Menyelami Trauma Drummer Blink-182

Karim Khan

Review Mutiny: Jason Statham Dan “Genre Statham” Yang Mengecewakan

Karim Khan

Review Jangan Buang Ibu: Tidak Sempurna, Tetapi Berjaya Menyentuh Hati

Karim Khan

Ulasan Filem Crime 101: Pertembungan Karismatik Hemsworth-Ruffalo dalam Atmosfera Noir yang Mendebarkan

Karim Khan

Review Heart of the Beast: Survival Brad Pitt Bersama Anjing K-9 Yang Penuh Emosi

Karim Khan

Leave a Comment