
Sylvester Stallone mendedahkan bahawa beliau sebenarnya tidak pernah menerima secara rasmi tawaran Donald Trump untuk dilantik sebagai “Duta Khas” Hollywood, malah mengetahui mengenai pelantikan tersebut ketika menonton berita di televisyen.
Dalam temu bual bersama The Times, Stallone berkata beliau terkejut apabila namanya diumumkan bersama Mel Gibson dan Jon Voight untuk membantu Trump menarik semula produksi filem ke Hollywood.
“Saya sedang menonton TV dan mereka menyebut Stallone, Mel Gibson dan Jon Voight akan menjadi... Saya terus tertanya-tanya, ‘Apa?’” kata Stallone.
Trump mengumumkan pelantikan ketiga-tiga pelakon itu beberapa hari sebelum pelantikan keduanya sebagai Presiden Amerika Syarikat pada Januari 2025. Menurut pengumuman tersebut, mereka diberi tanggungjawab untuk membantu mengembalikan aktiviti produksi ke Hollywood selepas semakin banyak produksi berpindah ke luar negara.

Namun, Stallone berkata beliau sudah menyuarakan keraguan kepada Trump sebelum pengumuman itu dibuat. Baginya, struktur industri Hollywood yang dikendalikan oleh syarikat-syarikat besar menyukarkan peranan sedemikian untuk dilaksanakan.
“Saya kata, ‘Terima kasih dan ciao,’ kerana ia mustahil,” jelasnya.
Gibson turut mengakui terkejut dengan pelantikan tersebut apabila Trump mengumumkannya, tetapi menyatakan kesediaan untuk membantu. Sementara itu, Voight kemudiannya terlibat dalam usaha menggalakkan Trump menyokong insentif cukai filem persekutuan baharu.
Stallone sebelum ini menerima Kennedy Center Honor daripada Trump pada Disember lalu bersama kumpulan rock KISS, Gloria Gaynor, George Strait dan Michael Crawford.
Sumber: The Wrap
